MENTERI Umno, Johari Abdul Ghani mendakwa, laporan yang dibuat oleh Pemuda Bersatu Selangor ke atasnya pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bertujuan untk menjejaskan reputasinya.
Menteri kewangan kedua itu berkata, laporan mendakwa beliau terlibat dalam satu projek dimajukan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang itu juga hanya bermotifkan politik.
“Aduan Pemuda Bersatu Selangor adalah perbuatan biasa yang bertujuan merosakkan reputasi dan kedudukan saya sebagai menteri Kabinet dan juga sebagai ahli Parlimen.
“Tindakan tersebut menunjukkan parti Bersatu berhasrat untuk meletakkan calon menentang saya untuk kerusi Parlimen Titiwangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dakwaan oleh Pemuda Bersatu Selangor itu, jelas sekali merujuk kepada dirinya walau tidak menamakan sesiapa.
Johari merupakan timbalan menteri kewangan ketika dilantik menjadi pengerusi UDA Holdings Bhd di antara 2013 hingga 2015.
Tegasnya, beliau bertindak dengan telus dan bertanggungjawab untuk memastikan projek lembaga tersebut berjalan lancar.
Pertemuannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dibangkitkan Pemuda Bersatu Selangor itu juga merupakan perbincangan rasmi, katanya.
“Sememangnya, saya akan terlibat dalam banyak mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai pemimpin korporat dan juga pegawai kerajaan gegeri, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
“Saya berjumpa Lim Guan Eng untuk membantu UDA mendapatkan kelulusan yang amat diperlukan dari kerajaan negeri Pulau Pinang kerana beberapa projek UDA di Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, beberapa mesyuarat dengan ketua menteri tersebut adalah mesyuarat rasmi.
Aduan kepada SPRM itu dibuat oleh Ketua Pemuda Bersatu Selangor, Adhif Syan Abdulah pagi ini.
Adhif dalam satu sidang medianya mendakwa, seorang menteri kabinet berminat dalam projek mega dua tahun lalu.
Tanpa menamakan sesiapa, beliau mendakwa menteri tersebut merupakan pengerusi bagi sebuah syarikat pegangan milik Kementerian Kewangan yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur hartanah dan dan bandar.
“Beliau terlibat dalam bidaan dua projek mega di Pulau Pinang ketika jadi pengerusi. Sekarang beliau seorang menteri.
“Berlaku dua pertemuan rahsia antara menteri itu dengan KM Pulau Pinang untuk membincangkan projek-projek tersebut,” Adhif memberitahu pemberita di luar bangunan SPRM di Putrajaya hari ini.
Sidang akhbar itu turut disiarkan secara langsung di Facebook. – 12 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan