Ala canggungnya bila Nurul Izzah jadi penasihat


Faisal Tehrani

Naib PKR Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan eewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari 2023.

ALA canggung sungguh, bila Anwar Ibrahim berbuat begitu. Padahal beliau boleh melakukan sesuatu yang amat bermakna – dengan tidak melantik anak perempuannya Nurul Izzah ke apa-apa jawatan; sama ada ia bergaji atau tidak. Termasuklah sekadar selaku penasihat.

Agak menghairankan tiada sesiapa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Pejabat Peguam Negara mengingatkan perdana menteri bahawa Anwar boleh menggelongsor terjatuh ke bawah Akta SPRM Seksyen 23 yang mana menyatakan “mana-mana penjawat awam tidak boleh menggunakan jawatan atau kuasa untuk faedah dirinya atau saudara-mara”. 

Anwar, pejuang dan Izzah sang Puteri Reformasi?

Bagaimana mentafsirkan “saudara-mara”? Saudara-mara ini ditafsirkan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM di mana ia menyebut saudara mara ini termasuklah menantu, anak, isteri, ipar, datuk dan nenek. Di bawah seksyen ini jugalah ahli politik yang ada jawatan dalam kerajaan yang membuat surat sokongan untuk saudara-mara mereka, boleh dan wajib disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Meskipun Nurul Izzah tidak akan beroleh gaji, tetapi bagaimana pula dengan kemudahan lainnya? Hal ini mesti dijejerkan dengan jujur. Tidakkah canggung melantik anak sendiri untuk menasihatinya? 

Itu berlaku di tengah lebih ramai bakat jujur, ikhlas dan sangat bersedia untuk menghidupkan Malaysia yang sudah lesu dek dinyonyot Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

Sesungguhnya untuk SPRM menghujahkan ini sebagai satu kes, memanglah sukar. Akan tetapi ia patut meletakkan Anwar dalam banyak keadaan canggung. 

Kita semua tahu ketebalannya feudalisme dalam kalangan penjawat awam. Dalam mesyuarat tertentu, dengan mudah dihujahkan dia ini anak polan, atau alahai si dia itu kerabat si anu. Mereka akan segera bermata cerlang. 

Dalam banyak keadaan, penjawat awam ini selalunya kurang berani berkukur. Yang duduk di atas lebih selesa mengangguk kerana mengimpikan gred besar. Manakala yang kecil, berjiwa hamba.

Bayangkan dalam satu mesyuarat yang ikut dianggotai oleh Nurul Izzah, bagaimanakah penjawat awam akan mewaraskan sesuatu yang patutnya tidak patut, tidakkah mereka akan akur? 

Tentulah canggung menolak pandangan Puteri Reformasi yang ini kerana penjawat awam sama ada cepat terpesona dengan batang tubuh ‘bos’, atau mereka memang akan terus menyerah. 

Tidaklah asing kita mendengar cerita penjawat awam mengopekkan kulit udang untuk bos. Jika udang boleh dikopek; bayangkan adakah mereka berani ber’ouk-ek’ dalam aspek ini bila berdepan dengan Nurul Izzah.

Agak menghairankan Anwar membiarkan mainan persepsi ini berlaku, tidakkah sekarang sedap untuk PAS dan Muhyiddin memain-main ceritera untuk memuaskan khayalan mereka demi menjatuhkan kerajaan perpaduan ini?

Ia tidak salah dari segi undang-undang tetapi di manakah betul dari aspek moralnya?

Soalnya, di manakah rasionalnya pelantikan Nurul Izzah? Atau apakah sebetulnya Anwar tidak mempunyai ramai orang yang dipercayainya, maka melantik Nurul Izzah dapat menjadikannya sebagai mata-mata. Ya, serba mungkin. Tapi tetap canggung sekali.

Ada satu rujukan yang mesti dipertimbangkan Anwar kali ini. Kita telah melihat betapa canggungnya lantikan sebegini tatkala Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukannya. 

Ini berlaku apabila mantan menteri besar Kelantan itu berhempas pulas menafikan wujudnya unsur kronisme dalam pelantikan menantunya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Konon menantu dilantik berdasarkan kelayakannya.

Demi mempertahankan lantikan sedemikian, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dihujahkan berpendidikan tinggi dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan. Pun lantikan itu mengundang kunjungan pegawai agensi antirasuah yang “meneliti beberapa dokumen berhubung beberapa isu yang berbangkit termasuk salah guna kuasa”.

Kerusuhan ekoran pelantikan itu meleret dari tahun 2008 menganjurkan ke tahun 2010. Nyaris dua tahun tidak jadi kerja kerana melayan ‘ek’ dan ‘ok’ orang.

Bingit dan bising dek duduk berdiri menantu Nik Abdul Aziz itu berakhir dengan peletakan jawatan Ariffahmi dan kemudian digantikan oleh Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ir Mustafa Salleh.

Saya kira Anwar wajar menimbang hal ini. Memandangkan PAS yang antireformasi sekali pun terpaksa mendorong peletakan jawatan Abdul Ariffahmi dek rimaskan kontroversi lebih-lebih lagi setelah SPRM menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam perbadanan di bawah pentadbiran beliau. 

PAS pun sanggup memilih mendesak beliau meletak jawatan bagi menjaga imej parti. PAS yang macam itu pun sanggup mengetepikan kehendak Nik Abdul Aziz.

Nik Abdul Aziz juga akur agar Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai mematuhi saranan PAS Pusat. Juga mengakui tidak sedar membuat kesilapan dalam melantik menantunya kerana pelantikan itu mengikut prosedur dan dalam pengetahuan anggota-anggota exco.

Eloklah Anwar memilih jalan Almarhum Nik Abdul Aziz, meskipun Nurul Izzah itu tidak bergaji. Sebab musababnya jika dibiarkan memang canggung sekali. Takkanlah PKR atau Anwar tak mampu membetulkan keadaan sedang PAS sendiri pernah mampu melakukannya. 

Lebih-lebih canggung ialah PAS yang tak berapa hendak reformasi itu pun menunduk, takkanlah Anwar dan Nurul Izzah yang serba-serbi hidup mereka berbajukan reformasi tetap tidak mengendahkan pandangan orang. 

Tambah-tambah, kecanggungan ini menjadi bola tanggung untuk Muhyiddin yang kita semua tahu tidak cekap dan cekatan.

Moga-moga Anwar masih sempat membujuk Nurul Izzah turun, bergaji atau tanpa bergaji. Oh, dan SPRM janganlah takut-takut menegur Anwar, Nurul Izzah, tambahan lagi Rafizi. – 31 Januari 2023. 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen