STATUS pandemik Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan awam di Amerika Syarikat (AS) akan ditamatkan secara rasmi 11 Mei, umum White House.
Kecemasan kesihatan awam pertama kali diisytiharkan pada Januari 2020 semasa pentadbiran bekas presiden Donald Trump, ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Pengiytiharan itu bagi membolehkan jutaan rakyat AS melakukan ujian saringan serta mendapatkan suntikan vaksin dan rawatan Covid-19 secara percuma.
Sejurus penamatan itu berkuatkuasa kelak, dana yang digunakan untuk ubat-ubatan bagi jangkitan virus Covid-19, insurans perubatan dan lain-lain bantuan kerajaan berkait wabak itu akan dihentikan.
Sebahagian program bantuan kerajaan sudah pun ditamatkan susulan bantahan Kongres.
White House dalam satu kenyataan semalam berkata pembatalan status tersebut akan memberi kesan sangat ketara terhadap sistem kesihatan AS dan operasi kerajaan.
“Hospital dan rumah jagaan yang bergantung kepada kelonggaran yang dibenarkan melalui perisytiharan darurat itu akan menjadi ‘huru-hara’ tanpa masa yang cukup untuk melatih kakitangan dan mewujudkan proses pembayaran baharu,” katanya.
Tambahnya, tempoh sehingga Mei ini akan memberi masa kepada kerajaan untuk bersiap sedia menghadapi kesan menarik balik status kecemasan kesihatan ke atas imigresen di sempadan AS-Mexico. – AFP, 31 Januari 2023.
Komen