Pecat dan gantung pemimpin hanya tambah masalah Umno, kata pemimpin muda


Mohd Farhan Darwis

Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Umno Syed Mohd Syed Nasir berpendapat tindakan Umno minggu lalu menunjukkan pemimpin parti tidak sedar bahawa masalah utama parti ialah isu integriti. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.

UMNO hanya menambah masalah dan bukannya menyelesaikan masalah apabila memecat dan menggantung puluhan ahli dan pemimpin parti, minggu lalu, kata akar umbi parti.

Tindakan pecat dan gantung itu juga menunjukkan Umno tidak mahu berhadapan dengan masalah sebaliknya mengambil jalan mudah yang tidak pula menyelesaikan masalah, kata Ketua Pemuda Umno Seputeh Wan Agyl Wan Hassan.

Beliau berpendapat tindakan Umno minggu lalu menunjukkan pemimpin parti tidak sedar bahawa masalah utama parti ialah isu integriti.

“Masalah dalam parti adalah masalah integriti, pembentukan kepimpinan dalam parti bukan lagi berdasarkan kualiti kepimpinan dan parti juga tiada visi dan arah tuju yang jelas.

“Umno tidak berubah mengikut zaman tetapi masih mengamalkan politik seperti era zaman 80an dan 90an,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Wan Agyl, 40, yang juga ketua penerangan Umno Wilayah Persekutuan berkata pimpinan Umno masih gagal untuk menyedari masalah sebenar yang ia hadapi sedangkan rakyat sudah menunjukkan isyarat jelas apabila menolak mereka dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.

“Akhirnya, kita tidak boleh berhadapan rakyat apabila kita gagal berubah mengikut peredaran dan keperluan zaman,” tambahnya lagi.

Wan Agyl juga berpendapat Umno tidak sepatutnya mengambil tindakan memecat dan menggantung sesetengah ahli dan pemimpin sebaliknya bersama-sama membincangkan masalah supaya dapat dicari penyelesaiannya.

“Apa isyarat kita nak hantar kepada rakyat? Pilihan Raya Umum ke-14 kita ditolak rakyat. Pilihan Raya Umum ke-15 kita ditolak orang Melayu.

“Adakah dengan tindakan seperti ini kita akan dapat sokongan mereka? Adakah dengan bunuh kepimpinan kita boleh baiki imej di mata rakyat?

“Saya rasa tidak,” katanya.

Wan Agyl juga mengingatkan keputusan dua PRU yang lepas turut menunjukkan ahli Umno sendiri pun tidak mengunci calon Barisan Nasional (BN).

Beliau bimbang perkembangan terbaru dalam Umno ini akan menyulitkan lagi keadaan parti untuk mengharungi enam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Pilihan orang Melayu

Katanya, orang Melayu kini sudah ada pilihan dan tidak lagi merasakan mereka hanya perlu bergantung pada Umno.

“Saya tak nampak Umno boleh menang kerusi signifikan pada PRN nanti. Melayu sekarang ada pilihan sedangkan Umno sebagai parti jika nak bertanding PRN harapkan Melayu undi kita.

“Pada PRU15 Melayu ada pilihan. Kita masih tak selesai masalah dalaman kita, dan menjadi lebih buruk apabila kepimpinan pecat dan gantung ahli… ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada akar umbi,” katanya.

Wan Agyl mencadangkan supaya Umno menarik diri daripada menyertai enam PRN, yang dijangka akan diadakan selepas Mei ini.

“Macam mana nak pergi PRN, kita di peringkat parti masih tidak kukuh, di mata rakyat kita masih belum selesaikan masalah kita.

“Macam mana nak menang? Itu belum cerita nak bagi kerusi dengan Pakatan Harapan.

“Kalau perlu tarik ‘hand brake’ daripada sertai PRN, kita kena buat juga. Kita kena ambil pendekatan… sampai masanya kita ikut kehendak dan selera rakyat,” tambahnya.

Umno pada Jumaat memecat beberapa pimpinan termasuk bekas ahli Parlimen Rembau yang juga bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta menggantung keahlian bekas Ketua Penerangan Shahril Sufian Hamdan dan ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein selama enam tahun.

Umno juga memecat bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar, atas permintaannya sendiri selepas hukuman asal digantung enam tahun.

Turut dikenakan tindakan digantung adalah bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Shariff dan Ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang.

Seramai 42 ahli Umno dari Johor, Pahang, Selangor dan Putrajaya juga dibuang parti atas pelbagai kesalahan melanggar disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15.

Wan Agyl melihat tindakan memecat dan menggantung ahli parti yang tidak sehaluan dengan kepimpinan sememangnya akan mengukuhkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden, namun pada masa menjejaskan kedudukan parti di mata rakyat.

“Kita hendak presiden kukuh kuasa atau parti diterima rakyat?

“Kalau kukuhkan presiden dengan korbankan parti, kita tidak diterima rakyat apa maknanya?

“Kita kena kukuhkan presiden dan parti… mesti selari,” katanya.

Tidak dapat terima

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Umno Syed Mohd Syed Nasir, 27, pula berkata, akar umbi sepertinya tidak dapat menerima tindakan pecat dan gantung yang Umbo buat kerana baginya ia mencabul demokrasi dan hak ahli.

Tindakan itu juga menyusahkan Umno pada PRN yang akan berlangsung di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, dan Kelantan nanti.

“Umno boleh kalah PRN atau PRU16 akan datang, kerana suara rakyat suara keramat.

“Kita telah utarakan apa yang disuarakan dari akar umbi tetapi Presiden (Ahmad Zahid) dan Majlis Kerja Tertinggi Umno tidak mendengar sehingga kita kalah pada PRU15,” katanya, yang juga ahli Umno Muar.

Jelas Syed Mohd, Umno perlu mengubah struktur parti dan berhenti daripada menyalahgunakan kuasa kepimpinan.

Umno perlu kembali berpijak di bumi nyata dan menerima hakikat bahawa rakyat sudah menolak mereka, katanya.

“Saya tidak boleh menerima pencabulan demokrasi dan hak sebagai ahli Umno untuk melontar pandangan demi kebaikan parti.

“Perlu segera ubah struktur parti, perlu segera hentikan salah guna kuasa, segera hentikan pecat dan gantung ahli, segera menerima realiti rakyat menolak Zahid… mulakan semula seperti Umno yang asal,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, seorang pimpinan Umno cawangan yang enggan dikenali pula berkata, ahli peringkat bawahan sebenarnya muak dengan krisis dalaman parti yang tidak berkesudahan.

“Kita ahli bawahan pening dengan apa yang berlaku. Umno ada satu, tapi kenapa kepimpinan berpecah belah sampai begini.

“Sehinggakan ada segelintir yang berfikir untuk tidak menjalankan mesyuarat supaya RoS bubarkan sahaja cawangan itu, marah punya pasal,” katanya.

Beliau mengakui ada ahli Umno yang akan tetap setia kepada parti namun kesetiaan mereka ada batasnya apatah lagi jika suara mereka sering dipinggirkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Kepimpinan kena dengar pendapat akar umbi… jangan sampai akar umbi merasakan parti sudah tiada nilai dan prinsip,” tegasnya. – 30 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen