Jika mahu terima ahli Umno dipecat, Anwar kata PH ambil kira pandangan semua parti


PANDANGAN setiap parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan diambil kira jika gabungan itu mahu menerima pimpinan Umno yang dipecat, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga perdana menteri berkata perkara itu penting bagi menjaga kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ia perlu menjaga kerukunan, kedamaian dan perpaduan Kerajaan Perpaduan. Kita akan beri pertimbangan yang lebih luas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Ipoh hari ini.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar dipecat daripada Umno.

Keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu turut menyaksikan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.

Turut digantung keahlian ialah Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.

Anwar berkata setakat ini masih tiada bekas pimpinan Umno yang dipecat menyatakan hasrat untuk bersama PH. – Bernama, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen