UMNO Bahagian Sembrong mengambil pendirian untuk terus kekal berada dalam kepimpinan parti meski dengan penggantungan ketua bahagiannya selama enam tahun, Hishammuddin Hussein.
Timbalan ketuanya Abd Ghani Abd Rashid berkata keputusan itu dibuat selepas dinasihati oleh Hishammuddin yang mahu mereka tetap dalam parti.
“Kepimpinan Sembrong akan terus mematuhi nasihat daripada Hishamuddin supaya ahli Umno terus kekal setia dan berpegang prinsip bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan diri.
“Ini adalah arahan dan nasihat kepada orang yang dituduh mengkhianati parti,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook, hari ini.
Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat tergempar Umno Sembrong susulan penggantungan keahlian Hishammuddin.
Penggantungan Hishammuddin itu diumumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan tengah malam pada Jumaat lepas.
Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata Umno Sembrong mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut penjelasan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Beliau berkata hukuman yang diberikan itu terlalu berat sedangkan tidak ada tindakan yang dibuat Hishammuddin untuk menggerakkan langkah yang membelakangkan atau mengkhianati parti
“Umno Sembrong terkejut dan berasa amat kecewa dengan hukuman penggantungan itu. Kami berpandangan hukuman daripada MKT itu amat berat. Pertimbangan dibuat tanpa proses sewajarnya tiada surat tunjuk sebab dan tiada pendengaran lembaga disiplin.
“Atas dasar itu Sembrong menuntut penjelasan dan sebab di atas penggantungan tersebut,” katanya. – 29 Januari, 2023.
Menyusul
Komen