PM ucap takziah kepada keluarga mendiang Gopal Sri Ram


Mendiang Gopal Sri Ram sebelum ini dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dipercayai jangkitan paru-paru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.

Menerusi ciapan di Twitter rasmi, Anwar mendoakan semoga urusan keluarga mendiang dipermudahkan serta mendoakan keluarga kuat dan cekal menghadapi khabar duka berkenaan.

“Takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram atas pemergiannya. Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” kata Anwar.

Berita kematian bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam kepada Bernama hari ini dan menurutnya mendiang meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari tadi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sri Ram dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu kerana jangkitan paru-paru. – Bernama, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen