SEBUAH keluarga di Kota Bharu berhabis hampir RM1,000 untuk datang ke Kuala Terengganu menonton Duan Nago Bogho, filem yang mengangkat seni makyong dan budaya serta semangat orang Kelantan yang sedang ditayang di pawagam sekarang.
Mereka ke Kuala Terengganu, menempuh perjalanan lebih kurang 160 kilometer dari Kota Bharu, kerana tiada panggung wayang di Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu.
Filem arahan Sabri Yunus itu mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Duan, yang mencintai makyong dan suka pula berkelahi, cuba mempertahankan maruah seni budaya dan harga dirinya sendiri. Gelarannya ‘Nago Bogho’ merujuk wataknya disamakan dengan ular tedung selar.
Amirul Hakimi, 21, memberitahu The Malaysian Insight, orang di Kelantan umumnya teruja melihat ada sebuah filem cerita tentang dunia mereka namun tidak dapat menontonnya di negeri sendiri.
“Sangat ironi sebenarnya apabila filem yang meraikan keunikan seni dan budaya Kelantan tidak dapat dinikmati oleh rakyatnya di tempat sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Kuala Terengganu, kelmarin.
Duan Nago Bogho merupakan filem aksi yang turut menggabungkan elemen seni budaya Kelantan iaitu makyong, yang pernah diharamkan oleh kerajaan negeri PAS selama 28 tahun kerana didakwa mempunyai unsur khurafat.
Pada 2019, kerajaan negeri membenarkan semula persembahan makyong dengan syarat patuh syariah.
Amirul menonton Duan Nago Bogho bersama enam ahli keluarganya di pawagam rangkaian Lotus Five Star Cinema di PB Sentral, Kuala Terengganu, pada Jumaat malam.
Pawagam LFS itu adalah satu antara tiga pawagam yang ada di Terengganu. Dua lagi ialah Paragon Cinemas di KTCC Mall dan TGV di Mesra Mall, kedua-duanya juga di Kuala Terengganu.

Jelas Amirul, oleh sebab perjalanan yang jauh – lebih kurang tiga jam pergi, tiga jam balik – dan waktu tayangan malam, mereka sekeluarga memutuskan untuk tidur semalam di Kuala Terengganu.
“Esok (semalam) baru kita balik. Biasanya orang Kelantan datang tengok wayang di Kuala Terengganu pada hujung minggu… Jumaat malam tengok wayang, esoknya balik,” jelasnya.
Amirul juga berkata bukan beliau dan keluarganya saja yang teruja mahu menonton Duan Nago Bogho. Ada rakannya yang malah menonton di Kuantan, yang jaraknya 299km dari Kuala Terengganu, kerana pawagam sudah penuh.
“Sebagai rakyat Kelantan kita cukup teruja adanya filem yang mengangkat budaya dan seni masyarakat negeri kita,” katanya.
Amirul memberitahu perbelanjaan dalam RM1,000 itu termasuk duit minyak, penginapan, makan minum dan tiket wayang untuk bapa dan ibu saudaranya, serta beliau adik beradik dan sepupu mereka.
“Saya rasa berbaloi kerana filem itu hebat. Filem itu berjaya perkenalkan budaya rakyat Kelantan kepada rakan-rakan kita satu Malaysia,” katanya.
Amirul berharap suatu hari nanti kerajaan negeri akan memberi kebenaran untuk panggung wayang dibuka semula di Kelantan.
“Menonton wayang tidak bermaksud kita melakukan perkara tidak elok atau mengundang maksiat,” katanya.
.jpg)
Pawagam terakhir di Kelantan ialah Panggung Lido di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu, yang beroperasi sehingga 1996 – sepenggal selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri. Pawagam itu kemudian terbakar dan setelah itu dirobohkan pada hujung 1990-an.
Cadangan supaya pawagam dibuka semula di Kelantan berbangkit kali terakhir pada tahun lepas, di tengah-tengah sambutan luar biasa di seluruh negara terhadap filem Mat Kilau.
Antara yang mengemukakan cadangan itu termasuk kumpulan penggiat seni dalam satu majlis dialog dengan pimpinan kerajaan negeri Kelantan.
Pada majlis dialog yang berlangsung pada Oktober 2022, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob dilapor memberi reaksi positif terhadap cadangan itu.
Sebelum itu juga pernah ada usul untuk kerajaan negeri mempertimbangkan operasi pawagam dengan syarat tertentu, termasuk tempat duduk asing lelaki dan wanita untuk menjaga hubungan antara mahram.
Bapa saudara Amirul, Ros Faizal Ahmad, 41, berkata kerajaan negeri patut membenarkan pawagam dibuka semula di Kelantan.
“Rakyat Kelantan perlukan hiburan, dan bukanlah kata ia aktiviti yang tidak bermakna.
“Sebenarnya ini aktiviti keluarga… tidak ada yang tidak elok tentang ini,” katanya.
Jelasnya, mereka sekeluarga pun tidaklah selalu turun ke Kuala Terengganu untuk menonton wayang.
“Hanya filem tertentu sahaja. Kali terakhir semasa filem Mat Kilau,” katanya.

Sambutan hangat
Sementara itu, pengurus LFS Kuala Terengganu Mohd Zulmajdi Razali mengakui pawagamnya menerima sambutan yang mengalakkan daripada rakyat Kelantan.
Ini menjadikan LFS antara lima pawagam yang menyumbang kutipan tiket dan jumlah penonton paling ramai bagi filem Mat Kilau, katanya.
Filem itu mengutip lebih RM100 juta selepas ditayangkan sejak Jun 2022.
“LFS bukan sahaja menerima penonton di Terengganu tapi dari luar Terengganu juga.
“Begitu juga dengan filem Duan Nago Bogho, sebahagian besar adalah penonton dari Kelantan,” katanya.
Jelas Zulmajdi, filem tempatan sebenarnya lebih mendapat sambutan di pawagam di Terengganu, terutama yang berunsur kekeluargaan.
“Yang membawa balik pengunjung di pawagam ini semuanya filem Melayu,” katanya.
Selepas seminggu ditayangkan sejak 19 Januari, Duan Nago Bogho, terbitan Kalamarif Holdings Sdn Bhd, berjaya meraih kutipan RM1 juta, kata penerbitnya. – 29 Januari, 2023.
Komen