Petisyen pilihan raya 3 kerusi Parlimen di Terengganu didengar Isnin


Diyana Ibrahim

Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu akan bersidang esok untuk mendengar permohonan Perikatan Nasional bagi membatalkan tiga petisyen yang dikemukakan ke atas keputusan PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

MAHKAMAH Pilihan Raya di Terengganu akan bersidang pada Isnin ini untuk mendengar permohonan Perikatan Nasional bagi membatalkan tiga petisyen yang dikemukakan ke atas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, kata peguam.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili PN dalam ketiga-tiga kes itu memberitahu petisyen bagi kerusi Marang akan didengar pada sebelah pagi sementara bagi Kuala Terengganu dan Kemaman akan dibuat pada sebelah petang.

Bantahan itu antaranya atas alasan tiada fakta lengkap mengenai dakwaan rasuah membabitkan calon PN, termasuk pempetisyen gagal menyatakan secara terperinci tarikh dan nama penuh penerima serta waktu dakwaan rasuah itu berlaku.

“Pihak kami mendapati tidak ada fakta lengkap tentang dakwaan rasuah sebagaimana yang dikatakan dilakukan oleh ejen kepada responden.

“Pihak mereka (pempetisyen) tidak tunjuk berdasarkan fakta dalam petisyen untuk mengaitkan orang yang membayar duit kepada pengundi sebagai ejen kepada responden.

“Mereka juga tidak menamakan secara penuh penerima wang dan tidak menyatakan tarikh kejadian yang didakwa dengan tepat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pihak pempetisyen juga mendakwa segala pemberian bantuan oleh kerajaan negeri kepada rakyat, seperti yang diluluskan secara sah dalam belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, sebagai rasuah, katanya.

“Bagaimana pemberian itu boleh dianggap rasuah dalam PRU mereka tidak buktikan secara spesifik tapi sekadar tangkap muat menyatakan asal bantuan kerajaan semuanya dianggap rasuah,” katanya, yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat.

Petisyen untuk membatalkan kemenangan PN difailkan masing-masing oleh calon Barisan Nasional (BN) yang kalah iaitu Jasmira Othman (Marang), Mohd Zubir Embong (Kuala Terengganu) dan Ahmad Said (Kemaman).

Ahmad yang juga pengerusi Umno Terengganu berkata, mereka mahu membatalkan keputusan PRU15 di tiga kerusi itu kerana ada “bukti jelas” daripada saksi yang mendakwa menerima wang daripada PAS yang memancing undi.

Tiga petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata mereka mahu membatalkan keputusan PRU15 di tiga kerusi itu kerana ada

Wan Rohimi mewakili ketiga-tiga calon PN yang menang iaitu presiden PAS Abdul Hadi Awang (Marang), Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu) dan Che Alias Hamid (Kemaman).

Jelas Wan Rohimi, ketiga-tiga responden juga membuat bantahan awal atas isu teknikal antaranya had masa untuk memfailkan petisyen seperti yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berpendapat tiga petisyen itu telah dikemukakan kepada mahkamah di luar masa yang ditetapkan iaitu 28 hari daripada tarikh dakwaan berlakunya sogokan kepada pengundi.

“Secara asasnya dakwaan rasuah paling lewat adalah pada hari mengundi iaitu 19 November 2022 dan petisyen difailkan pada 3 Januari.

“Kalau kita ambil tarikh akhir dakwaan rasuah berlaku maka ia sudah melebihi luar tempoh masa yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

Berdasarkan tarikh-tarikh itu, tiga petisyen berkenaan difailkan 46 hari selepas hari mengundi.

Sementara itu, peguam Amir Othman yang mewakili pempetisyen yakin mahkamah pilihan raya akan menolak bantahan awal itu berdasarkan beberapa keputusan mahkamah pilihan raya sebelum ini.

Beliau merujuk keputusan dalam petisyen terhadap keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dan DUN Sungai Udang.

“Mahkamah cenderung untuk bicara kes yang melibatkan dakwaan rasuah,” katanya.

Dalam satu sidang media minggu lalu, Amir juga berkata pihaknya akan mengemukakan hampir 20 saksi untuk menyokong petisyen calon BN.

Bantahan awal untuk petisyen bagi Marang akan didengar secara fizikal manakala untuk dua petisyen lagi dibuat secara dalam talian.

Petisyen bagi kerusi Parlimen Marang akan didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Firuz Jaffril mendengar petisyen untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu sementara pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Bahru Mohamad Abazafree Mohd Abbas mendengar petisyen untuk kerusi Parlimen Kemaman.

Ketiga-tiga mereka mengendalikan kes sebagai hakim mahkamah pilihan raya. – 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen