Pembersihan Umno tidak beri kesan pada PRN, kata pemerhati


Ravin Palanisamy

Pakar politik berkata keputusan Umno untuk membersihkan parti daripada pengkhianat tidak mungkin akan menjejaskan mereka pada PRN akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2023.

KEPUTUSAN Umno untuk membersihkan parti daripada pengkhianat tidak mungkin akan menjejaskan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata pakar politik.

Mereka mendakwa tindakan disiplin dikenakan kepada ahli “untuk membersihkan” parti daripada kemungkinan sabotaj dalaman dan Umno mungkin boleh bangkit menjadi juara orang Melayu sekali lagi.

Menurut Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, Umno mungkin berdepan kekecewaan jika mereka memutuskan untuk bertanding secara solo pada PRN.

Beliau bagaimanapun berkata, parti itu boleh memperbaiki kelemahan itu menerusi jalinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Jika Umno memutuskan untuk bertanding tanpa kerjasama politik, bermakna mereka pergi secara solo, maka Umno mungkin terjejas.

“Tetapi Umno yang dikhabarkan akan bekerjasama dengan PH mungkin mengatasi isu ini dengan membina kerjasama strategik dengan PH.

“Oleh itu, sokongan Melayu sedia ada dan sokongan daripada PH, termasuk undi bukan Melayu, mungkin meminimumkan kesan terhadap Umno dalam PRN akan datang,” kata pensyarah kanan itu kepada The Malaysian Insight.

Pada Jumaat, Umno memecat Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Noh Omar – kedua-duanya pemimpin berpengalaman – kerana didakwa bekerja bertentangan dengan kepentingan parti.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan digantung selama enam tahun.

Turut digantung bekas ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Shariff dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Selain Khairy dan Noh, 42 ahli parti turut dipecat – sembilan dari Bahagian Putrajaya, lima dari Bahagian Pasir Gudang, dua dari Bahagian Tanjong Karang dan 26 dari Pahang.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pemecatan dan penggantungan ahli Umno tidak akan memberi kesan buruk kepada parti yang sudah lemah itu.

Beliau berkata tumpuan semasa PRN akan tertumpu kepada kemungkinan kerjasama yang digembar-gemburkan antara PH dan Barisan Nasional (BN).

“Ia mungkin tidak memberi kesan yang besar, Umno semakin lemah,” kata penolong profesor sains politik itu.

“Pilihan raya negeri akan datang adalah mengenai mendapatkan keyakinan penyokongnya untuk menerima jajaran baharu BN-PH.

“Tidak jelas apa yang akan dilakukan oleh ahli yang dipecat tetapi jika mereka berkempen menentang Umno, mereka boleh menerima sokongan parti pembangkang.

“Oleh itu, dengan sokongan Umno yang semakin merosot, mereka tidak boleh menawarkan banyak kepada parti lain juga,” katanya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penyokong “progresif” Umno mahukan yang terbaik untuk parti itu dan dengan itu akan terus menyokong mereka.

“Penyokong progresif Umno akan terus menyokong mereka kerana penyatuannya dengan PH.

“Bagaimanapun, persaingan masa kini adalah untuk menarik minat pengundi yang lebih mengutamakan pandangan regresif dan agama untuk negara,” katanya.

BN memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15, membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

Bagaimanapun, BN tidak memenangi satu kerusi Parlimen pun di tujuh negeri - Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perlis.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing ketika PRU15 November lalu.

Bagaimanapun, mereka perlu mengadakan pilihan raya menjelang September.

Hanya Pahang, Perak dan Perlis keluar mengundi dua bulan lalu untuk memilih kerajaan negeri. Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak pula mengadakan PRN dalam tempoh setahun sebelum PRU.  – 29 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen