Tenaga kerja gig bagi sektor F&B antara cara kurangkan cabaran ekonomi, kata menteri


Ravin Palanisamy

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, ada beberapa langkah yang sedang dilihat untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan yang ditanggung mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2023.

PUTRAJAYA sedang mengkaji beberapa langkah untuk membantu peniaga makanan dan pengusaha restoran menghadapi cabaran ekonomi yang dihadapi, kata Rafizi Ramli hari ini.

Dengan peningkatan kos, seperti pelaksanaan gaji minimum RM1,500, menteri ekonomi berkata kerajaan sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban industri makanan dan minuman (F&B) serta meningkatkan ekonomi dan pasaran pekerjaan negara.

Beliau berkata langkah itu termasuk pengenalan potensi tenaga kerja gig dalam sektor F&B.

“Terdapat beberapa langkah yang sedang dilihat untuk membantu peniaga dan pengusaha restoran menangani kenaikan yang mereka tanggung, termasuk potensi menyebarkan model tenaga kerja sambilan (tenaga kerja gig) dalam sektor F&B.

“Ia sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan pasaran kerja dengan permintaan sektor ekonomi, yang merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk menyusun semula ekonomi negara,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Rafizi hadir selepas Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan menasihati pengguna supaya berhati-hati memilih kedai makan yang sesuai dengan kemampuan mereka, dengan alasan kenaikan harga tidak dapat dielakkan.

Ahli Parlimen Pandan itu mengalu-alukan pandangan presiden Presma, berkata ia selaras dengan pendapat kerajaan.

Tegasnya semua pihak - kerajaan, peniaga dan pengguna - perlu memainkan peranan dalam menangani kenaikan harga makanan.

“Usaha untuk membendung inflasi memerlukan semua pihak bekerjasama,” tambahnya.

Pada Rabu, Rafizi berkata walaupun inflasi bagi Disember 2022 merosot kepada 3.8% berbanding 4.0% pada bulan Oktober dan November, kenaikan harga makanan dan minuman terutama di restoran dan hotel merupakan faktor penyumbang utama kepada inflasi.

Beliau berkata, inflasi dalam kategori ini meningkat kepada 7.4% pada Disember 2022 berbanding 7.0% pada bulan sebelumnya.

Rafizi, bagaimanapun, berkata Malaysia tidak boleh menjadi negara “komunis”, yang mana kerajaan mengawal harga makanan yang dijual di premis.

Rafizi hari ini berkata, beliau akan bertemu dengan wakil pengusaha restoran dan peniaga makanan tidak lama lagi untuk membincangkan secara dua hala langkah yang boleh diambil bersama. – 27 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen