Lebih banyak jawatan tetap untuk doktor gigi dan ahli farmasi, kata Dr Zaliha


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata seramai 242 pegawai pergigian dan 321 pegawai farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2023.

DOKTOR gigi dan ahli farmasi yang dilantik mengikut kontrak bagi 2016 dan 2017 kini boleh memohon jawatan tetap, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata permohonan jawatan itu akan dibuka mulai 30 Januari hingga 12 Februari 2023. 

Pemohon boleh memohon melalui Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Sistem SPA9).

“Proses ini susulan urusan pengambilan jawatan tetap pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan 2018 hingga 2020 yang telah dibuka menerusi Sistem SPA9 dari 6 hingga 21 Jan lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 242 pegawai pergigian dan 321 pegawai farmasi lantikan kontrak tahun 2016 dan 2017 layak memohon jawatan tetap yang ditawarkan, kata Zaliha.

Pegawai lantikan kontrak yang berkenaan disarankan melayari portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk berdaftar atau mengemas kini maklumat permohonan dalam sistem SPA9.

Langkah kementerian itu dibuat selepas sekumpulan ahli farmasi kontrak mengancam akan mengadakan bantahan sekiranya mereka tidak diberi kepentingan yang secukupnya ketika menjawat jawatan tetap.

Mereka menggesa kerajaan menghapuskan prosedur temu duga bagi jawatan tetap.

Mereka juga mempersoalkan kerajaan berkenaan kuota yang lebih rendah untuk jawatan tetap bagi ahli farmasi berbanding doktor. – 27 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen