Zahid patut direhatkan sampai kes selesai


BAGI memastikan perbicaraan kes di mahkamah diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan Ahmad Zahid Hamidi digesa direhatkan dari tugas sebagai timbalan perdana menteri.

Ia berikutan permohonan yang difailkan Ahmad Zahid kepada pihak mahkamah untuk pasport beliau dikembalikan secara kekal walaupun dokumen itu sebelum ini diserahkan bagi mematuhi syarat ikat jamin perbicaraan yang masih berlangsung berkaitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. 

Dalam permohonannya Ahmad Zahid mendakwa beliau diberi mandat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku timbalan perdana menteri yang dikehendaki berada di dalam dan di luar negara. 

Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan. 

Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan namun bidang tugas yang dipegang Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan. 

Pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan dengan pelbagai alasan urusan tugas seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan. 

Hakikatnya pentadbiran negara mempunyai timbalan perdana menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan. 

Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15 yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti.

Pendekatan terbaik bagi menangani isu ini adalah dengan Perdana Menteri Anwar bertegas supaya Ahmad Zahid direhatkan dari tugas beliau sebagai timbalan perdana menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan yang disabitkan. 

Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan. – 27 Januari, 2023.

* Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen