Sekolah bukan tempat lahirkan golongan rasis dan pelampau


PUSAT Komas terkilan dengan kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Kementerian Pendidikan berkenaan isu Bengkel Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan oleh SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru untuk pelajar Muslim sahaja.

Respons pantas dari pihak kementerian selepas insiden berlaku kelihatan seolah-olah satu percubaan untuk menutup kesilapan yang dilakukan oleh pihak sekolah.

Fadhlina Sidek selaku menteri pendidikan sepatutnya membuat pendirian yang tegas dan menangani isu rasisme dan diskriminasi kaum di sekolah. Keputusan beliau selaku menteri untuk membiarkan isu ini ditangani Pejabat Pendidikan Daerah dapat diertikan seperti menepis tanggungjawab beliau untuk mempromosi perpaduan di peringkat sekolah. 

Tingkah laku sebegini jauh berbeza dengan konsep Malaysia Madani yakni Malaysia yang inklusif bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahupun agama seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Respons kementerian mengenai program tersebut yang “dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina” adalah tidak selari dengan penjelasan yang diberikan oleh pengetua sekolah melalui tangkap layar perbualan yang dikongsikan melalui media sosial.

Berdasarkan perbualan Whatsapp yang dikongsikan oleh ibubapa yang menghadapi isu ini, bengkel tersebut dianjurkan hanya untuk pelajar Muslim dengan alasan untuk ulangkaji subjek Pendidikan Islam sahaja.

Hanya selepas itu mereka mendapat maklumat bahawa subjek SPM lain seperti Kimia dan Matematik Tambahan turut ditekankan sewaktu bengkel tersebut. 

Pengetua sekolah memberikan respons: “Pencapaian pelajar Melayu sangat membimbangkan. Seramai 40 pelajar gagal dan tidak layak mendapat Sijil SPM jika usaha tidak dilakukan untuk membantu mereka.” 

Tangkap layar perbualan itu selanjutnya mendedahkan bahawa pengetua itu tidak mahu kegagalan pelajar Melayu menjejaskan pencapaian sekolah sewaktu SPM akan datang. 

Dalam perbualan tersebut, tidak disebutkan mengenai bengkel kedua untuk pelajar bukan Melayu atau bengkel tersebut akan dibahagikan kepada dua sesi.

Usaha kementerian untuk mengawal keadaan dengan mendakwa bahawa terdapat satu lagi sesi bengkel akan dianjurkan dilihat sebagai respons tidak telus. 

Hakikat bahawa bengkel SPM diadakan secara rahsia dan hanya untuk pelajar Melayu bertopengkan “Pendidikan Islam” sudah cukup untuk mempamerkan wujudnya unsur perkauman dan diskriminasi kaum. 

Mengutamakan pelajar berdasarkan sesuatu etnik serta mengabaikan etnik yang lain adalah cerminan terhadap layanan keutamaan dan diskriminasi kaum. Peluang sama rata harus diberikan kepada semua tanpa mengira bangsa dan keturunan mereka. 

Sepatutnya, pihak sekolah boleh menganjurkan bengkel itu pada satu tarikh yang tidak bertembung dengan sambutan Tahun Baharu Cina. Sekiranya, bengkel tersebut perlu dianjurkan segera, semua ibu bapa harus diberi kebebasan memilih untuk membenarkan anak mereka menghadiri bengkel tersebut walaupun ia mungkin bertembung dengan sambutan.

Pusat Komas senada dengan titah DYMM Sultan Johor bahawa “Tiada sesiapa yang harus diketepikan daripada sebarang program awam kerana bangsa atau agama mereka. Jika benar wujud pengasingan kaum, maka tindakan harus diambil terhadap penganjur. Perkara yang sama juga boleh dikatakan jika didapati dakwaan ini terbukti palsu dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab”. 

Tambahan pula, kami mendesak supaya menteri pendidikan serta Kementerian Pendidikan mempamerkan sikap kebertanggungjawaban dan akauntabiliti yang lebih baik. 

Tindakan tegas dan pantas harus diambil terhadap pihak yang mencetuskan sentimen perkauman serta diskriminasi kaum terutamanya dalam suasana sekolah. 

Jadikan peristiwa ini sebagai peringatan bahawa isu perkauman tidak seharusnya diendahkan lagi! – 26 Januari, 2023.


* Pusat Komas.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen