Pilihan raya kerajaan tempatan bukan keutamaan sekarang, kata Nga


The Malaysian Insight

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pemulihan ekonomi perlu disegerakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Januari 2023.

ADA perkara lain yang lebih penting dan perlu Pakatan Harapan (PH) segerakan berbanding pilihan raya kerajaan tempatan, kata Nga Kor Ming.

Dalam temu bual khas bersama media baru-baru ini, menteri pembangunan kerajaan tempatan itu berkata berdasarkan tinjauan dan maklum balas yang diterima apa yang paling dimahukan rakyat sekarang ialah pemulihan ekonomi.

Perkara itu harus didahulukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat, ujar Nga.

Ini berbeza dengan pendirian DAP, antara parti komponen PH, selama ini bahawa pilihan raya kerajaan tempatan perlu dikembalikan untuk mengekalkan amalan demokrasi.

“Kerajaan perlu menaikkan semula taraf hidup rakyat. Itu fokus kerajaan sekarang ini.

“Terus-terang saya katakan kalau boleh saya mahu pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan, tetapi itu bukanlah yang rakyat mahukan,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan kerajaan menguruskan masalah ekonomi yang membebankan rakyat akan menyebabkan PH berpotensi kalah dalam pilihan raya akan datang.

“Kita utamakan apa yang rakyat mahu, bukan apa yang saya mahu.”

Kegagalan kerajaan menguruskan masalah ekonomi yang membebankan rakyat akan menyebabkan PH berpotensi kalah dalam pilihan raya akan datang, kata Nga Kor Ming. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Januari 2023.

Sasaran 100 hari

Nga yang juga ahli Parlimen Teluk Intan berkata, melewati 40 hari memegang jawatan menteri pembangunan kerajaan tempatan dalam kerajaan perpaduan tujuh fokus utama telah berjaya dicapai atau berada di landasan yang tepat menepati sasaran yang ditetapkan.

Antara tujuh sasaran tersebut adalah menutup sekurang-kurangnya 100 tapak pelupusan haram di seluruh negara dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan perpaduan berkuasa. Dalam tempoh 40 hari katanya, 68 tapak pelupusan haram berjaya ditutup.

Sasaran kedua kementeriannya adalah menyiapkan 4,713 rumah mampu milik untuk rakyat. Kesemuanya akan disiapkan dalam tempoh 100 hari, menurut Nga.

Ketiga adalah sasaran untuk membuka 100 kios penjaja, manakala keempat membina empat balai bomba baharu di Kuala Lumpur, Perak dan Sarawak.

Nga seterusnya komited untuk menaik taraf 12 unit lif di PPR Kota Damansara di Kuala Lumpur, sementara sasaran keenam memastikan Loji Rawatan Waste to Energy (WtE) yang pertama di Malaysia yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan beroperasi.

Loji tersebut itu dapat mengurangkan 90% penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan, katanya.

Sasaran beliau seterusnya iaitu yang ketujuh ialah menaik taraf Pasar Tok Kenali dan Jalan Binjai di Kelantan serta Pasar Pasir Pinji di Ipoh, Perak. – 26 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen