Ahli Parlimen Petaling Jaya akan bawa isu projek PJD ke Parlimen


Noel Achariam

Penduduk Petaling Jaya berkata mereka tidak perlukan projek lebuh raya mega PJD Link merentasi kawasan perumahan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2023.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata beliau akan mendesak jawapan daripada Kementerian Kerja Raya berhubung status projek mega Lebuhraya Penyuraian Petaling Jaya (PJD Link).

Wakil rakyat baru dilantik itu berkata beliau akan membangkitkan soalan pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan, berkenaan lebuh raya yang dicadangkan untuk menghubungkan Kinrara dan Damansara.

Lee menggantikan Maria Chin Abdullah sebagai wakil rakyat Parlimen Petaling Jaya selepas menang PRU15.

“Saya bertemu dengan penduduk awal tahun ini dan mereka bimbang dengan projek itu. Kami akan cuba mendapatkan penjelasan.

“Kami sedang merangka soalan untuk Kementerian Kerja Raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lee berkata beliau akan mengkaji rungutan yang dibangkitkan penduduk kepadanya.

Penduduk di kawasan itu sejak sekian lama membantah projek berkenaan tetapi mereka tidak pasti sama ada kerajaan negeri sudah memberikan kebenaran projek itu dilaksanakan, atau tidak.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 14 George Paul Raj berkata Petaling Jaya adalah bandar yang matang dan tidak perlukan lebuh raya merentasi kawasan itu.

“Kami tidak mahu kesesakan, pencemaran bunyi dan udara. Lebuh raya itu mungkin akan terlalu  hampir dengan kawasan perumahan dan perniagaan di sini.

“Ia mungkin menjejaskan beberapa kawasan tertentu sepanjang tempoh pembinaan. Kami juga tidak mahu melihat serpihan pembinaan di jalan raya kami.”

Beliau berkata mereka tidak memerlukan lebuh raya merentasi bandar itu tetapi sebaliknya pemaju boleh membina laluan lingkaran.

“Manifesto Selangor kata tiada lebuh raya bertol di negeri ini, jadi bagaimana pula PJD Link ini boleh dibenarkan?”

Minggu lalu, penduduk mempersoalkan status projek lebuh raya itu kepada kerajaan negeri Selangor.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata beliau akan membangkitkan isu status pembinaan PJD Link ke persidangan Dewan Raya bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2023.

Pemimpin gabungan bantahan PJD Link Sheikh Moqhtar Kadir berkata perunding mula meminta penduduk untuk turut serta dalam satu kaji selidik.

Beliau mendakwa perunding sedang menyiapkan laporan penilaian kesan sosial (SIA) yang diminta oleh pemaju projek itu.

“Kami bimbang dengan status projek itu sekarang. Sebelum pilihan raya, ahli politik kata projek itu tidak boleh dilaksanakan jika ia sama seperti Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

“Keadaan ini menimbulkan tekanan dan kebimbangan kepada penduduk. Kami desak supaya projek itu dibatalkan.”

Pada Julai 2022, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan menolak sebarang projek pembangunan lebuh raya pada masa akan datang jika ia tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata Selangor belum memberi kelulusan kepada PJD Link, dan pemaju perlu melakukan kaji selidik reaksi penduduk yang terjejas akibat projek itu.

Pada Ogos 2022, Sheikh Moqhtar mempertikaikan kelulusan diberikan menteri kerja raya pada masa itu, Fadillah Yusof terhadap PJD Link sedangkan Kidex, projek yang hampir serupa, dibatalkan.

Dilaporkan sebelum ini, projek PJD Link, Lebuhraya Putrajaya-Bangi dan Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur diluluskan secara prinsip oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Fadilah berkata pemaju PJD Link perlu menghantar laporan penilaian kesan yang berkaitan, dan projek itu memerlukan kelulusan kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya untuk diteruskan.

Sheikh Moqhtar berkata jika kenyataan Amiruddin itu sah, PJD Link sepatutnya dibatalkan.

Katanya, dalam dua minggu lagi, gabungan itu akan menghantar surat berkenaan kebimbangan penduduk kepada Kementerian Kerja Raya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – 26 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen