Rafizi sedia jawab isu inflasi, harga barang di Parlimen


Ravin Palanisamy

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata beliau tidak melihat isu harga barang dan inflasi sebagai soal politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Januari 2023.

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli berkata beliau sedia menjawab sebarang persoalan berkait ekonomi dan inflasi yang diajukan ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang  pada sidang Parlimen akan datang.

“Untuk bersikap adil, saya tidak melihat soal harga barang dan inflasi sebagai soal politik. 

“Jadi sama ada pembangkang orang kerajaan atau pembangkang nak bangkitkan itu hak masing-masing,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Rafizi selain itu berkata kementeriannya kini menumpu soal harga barang dan gaji kerana dua perkara memberi kesan yang paling besar kepada rakyat.

“Ada yang bertanya kenapa Kementerian Ekonomi bercerita pasal harga barang kerana kalau orang cakap pasal kementerian ini cerita projek besar, unjuran 10 tahun dan sebagainya.

“Kerana kepada rakyat perkara ekonomi yang paling penting bagi rakyat adalah dua perkara sahaja; harga barang dan gaji.

“Jadi ini yang saya memang kongsi dengan kementerian saya bahawa walaupun kerja ini nampak tak seksi dan selalu orang permainkan tapi inilah yang ada kesan paling besar kepada rakyat.

“Jadi kalau pembangkang memainkan isu inflasi, isu harga barang itu terpulang kepada mereka kerana saya yakin sebenarnya rakyat kita cerdik. Mereka tahu angka, mereka boleh bandingkan apa yang berlaku setahun, dua tahun yang lepas,” jeasnya.

Terdahulu, Rafizi berkata kadar inflasi Malaysia bagi tahun 2022 menunjukkan tanda positif apabila susut kepada 3.3% seperti yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya inflasi, yang diukur oleh indeks harga pengguna, mencecah enam bulan terendah 3.8% pada Disember berbanding 4.0% pada November. – 25 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen