Kes bela diri Zahid: Tangguh atau beli masa?


RM52,343,132.99 merupakan jumlah wang yang menjadi subjek 12 pertuduhan pecah amanah dan 8 pertuduhan rasuah. Tertuduh merupakan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri kepada PM ke-10.

RM72,063,618.15 merupakan jumlah wang yang menjadi subjek 27 pertuduhan penggubahan wang haram. Tertuduh merupakan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri kepada PM ke-10.

Pada masa penulisan ini yang jelas Ahmad Zahid Hamidi kini dipanggil membela diri kepada kesemua 47 pertuduhan. 

Beliau perlu sama ada menyangkal anggapan penerimaan wang-wang rasuah ini dan/atau menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan.

Tujuan penulisan ini bukan pada masa dan ketika ini mengkaji sama ada pembelaan beliau mampu membawa beliau untuk dibebaskan. Itu tugas Yang Arif Hakim serta sistem keadilan. 

Sebaliknya saya ingin masyarakat dan pembaca meneliti kronologi kes untuk melihat sama ada gerak geri Presiden Umno ini semata-mata untuk membeli masa bagi mempertahan kedudukan politik beliau atau sebaliknya.

Zahid dituduh pada Oktober 2018. Bicara pula bermula pada November 2019. Seramai 99 saksi memberi keterangan. 

Perbicaraan mengambil masa 53 hari (bukan berturut-turut). Pelbagai penangguhan serta permohonan-permohonan difailkan.

Pada 24 Januari 2022, Hakim yang mendengar kes membuat keputusan bahawa satu kes prima facie dibuktikan dan Zahid diperintah membela diri. 

Kalau menurut matematik, dari awal pertuduhan November 2018 sehingga Januari 2022, ia memakan masa 3 tahun 2 bulan. 

Yang menariknya dalam jangkamasa 3 tahun 2 bulan tersebut, Zahid berada di luar Kerajaan pasca PRU-14 kemudian kembali dalam Kerajaan pasca Langkah Sheraton(PM8) dan masih dalam Kerajaan Keluarga Malaysia PM9. 

Dalam erti kata lain, Zahid berada di luar Kerajaan hanya bagi tempoh Mei 2018 hingga Februari 2020.

Zahid memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi dan selesai pembelaanya. 

Dimaklumkan kepada mahkamah oleh pembelaan bahawa mereka memerlukan 20 daripada 37 saksi yang ditawarkan oleh Pendakwaan. 

Pada 1 November 2022 satu penangguhan dipohon dan diberikan sehingga 16 Januari 2023. 

Tarikh November 2022 ini signifikan kerana ia sebelum PRU-15. Ditakdirkan pasca PRU-15, tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti untuk membentuk Kerajaan. Maka bermula episod mencari gabungan. Ya, gabungan atau campuran. 

Pada 2 Disember 2022, Zahid dilantik sebagai TPM kepada PM ke-10. Persoalan yang mula bermain di benak masyarakat adalah: Bagaimana dengan kes Yayasan Akalbudi?

Bermula dari tarikh itu juga persoalan timbul mengenai kedudukan TPM di Mahkamah kelak. 

Bagaimana reaksi Pendakwaan? Apa akan berlaku sekiranya ada permohonan daripada TPM untuk penangguhan? Adakah layanan istimewa? Atau kes Pembelaan berjalan seperti biasa? 

Harus diingat kronologi dan tarikh penangguhan terbaru pada masa itu adalah kes bersambung pada Januari 2023.

Bagai disusun atau secara kebetulan, Perhimpunan Agung Umno (PAU) pula pada 11 hingga 14 Januari 2023.

Dua hari sebelum kes disambung semula. Pada PAU ini juga menyaksikan tiada pertandingan kerusi Presiden dan Timbalan Presiden. Maka, kerusi Zahid selamat seketika dalam Umno.

Berbekal itu serta dikemudi pasukan pengiring polis (outriders), TPM dilihat memasuki Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Ya, TPM, Presiden Umno dan si tertuduh yang membela diri ke Mahkamah.

Anehnya kes ditangguh. Tiada alasan. Penangguhan hingga ke April 2023. Kes juga akan disambung seterusnya ke Jun, Julai dan Ogos 2023. 

Dari segi matematiknya, bermula dipanggil bela diri pada Januari 2022 sudah kini hampir setahun Zahid dibicarakan Pembelaannya.Dalam jangkamasa itu beliau telah kembali sebagai TPM.

Penangguhan atau membeli masa? Mungkin masa sahaja akan menentukan.

Untuk konteks mudah, Zahid masih dalam Kerajaan. Ya, Kerajaan yang menyatakan rasuah dan salah guna kuasa mesti dihapuskan. 

Pelik tapi benar, hanya di Malaysia yang madani. – 25 Januari, 2023.

* Muhammad Rafique Rashid Ali, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen