Treler filem Pulau dan PRN


Ruhan Shahrir

TRELER filem Pulau yang memaparkan babak pelakon wanitanya berbikini telah mengundang pandangan daripada pelbagai pihak khususnya di ruang maya. Ia menjadi isu viral apabila bekas timbalan menteri agama dari PAS, Ahmad Marzuk Shaary mendakwa filem tersebut mengandungi babak lucah dan berlebihan.

Secara umumnya terdapat dua kutub yang bertentangan. Satu pihak mendesak supaya treler filem tersebut disekat atas nama moral agama Islam serta tata susila “budaya dan norma tempatan”, manakala satu pihak yang lain menuntut supaya ia tidak disekat atas nama kebebasan berkarya dan hak individu untuk bebas memilih atau menyaring sendiri filem yang ditawarkan.

Kedua-duanya mengambil pendirian sikap yang keras untuk memastikan bahawa pandangan masing-masing dikuatkuasakan oleh kuasa pemerintah (baca: kerajaan perpaduan). Yang tersudut dalam isu viral ini nampaknya adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohammad Fadzil.

Ketersudutan Fahmi Fadzil jelas terzahir apabila beliau yang merupakan seorang pengamal teater dan karyawan seni budaya sebelum menerjunkan diri ke dalam gelumang politik, terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa treler filem Pulau tersebut tidak sesuai ditayangkan kepada umum dan perlu ada penelitian semula terhadap beberapa prosedur tapisan yang beliau rasakan telah berlakunya pelanggaran.

Sebaik sahaja kenyataan beliau itu tersebar, maka berbondong-bondonglah mereka yang memperjuangkan kebebasan “meng-up-kan” status, “mengicaukan” twit dan menyebarkan poster “menganjing” menteri kerajaan perpaduan itu sebagai “berkerja mengikut bontot PAS”.

Malahan beliau dinasihatkan supaya tidak mengambil pendekatan “konservatif” dalam hal ehwal yang melibatkan industri kreatif serta tidak cuba untuk memuaskan hati mereka yang tidak pun mengundi beliau.

Di pihak yang menuntut supaya treler tersebut disekat daripada disiarkan kepada masyarakat awam tidak kurang juga gencar dalam menyatakan sikap. Mereka bahkan turut berkeras mendesak supaya kelulusan tayangan filem tersebut disemak semula.

Dengan kata lain, buat pihak pendesak ini tidak ada pilihan buat lembaga negara dan menteri berkenaan, selain daripada menggunakan kuasa yang dimiliki untuk membatalkan tayangan filem tersebut di pawagam.

Keras dan tegas

Dua kutub pandangan ini pada hemat saya sukar untuk didamaikan. Masing-masing keras dan tegas dengan pendirian yang mereka imani. Namun, mengambil pendirian keras dalam isu sebegini cenderung membuatkan kita terlepas pandang kepada motif yang ditimbulkan oleh mereka yang membangkitkan isu tersebut.

Motif agama tentunya ada tapi ia tidak menafikan bahawa agama juga boleh dipergunakan untuk meraih sokongan politik khususnya di waktu pilihan raya negeri (PRN) bakal diadakan tak lama lagi.

Keputusan PRU15 yang lepas ditandai oleh kebangkitan politik identiti dan gelombang tsunami hijau. Justeru, wajar sahaja (dalam erti strategi politik) untuk politikus seperti Ustaz Marzuk Shaary memanfaatkan gelombang tersebut dengan mengeksploitasi isu yang beliau rasakan dapat memberi kelebihan kepada parti beliau.

Sama wajarnya juga untuk menteri memberi kenyataan balas yang beliau rasakan strategik buat kerajaan perpaduan yang bukan hanya sedang berhadapan dengan gelombang politik identiti tetapi juga kemerosotan sokongan daripada majoriti pengundi yang terpenting dalam demografi pilihan raya Malaysia, yakni pengundi Melayu-Islam.

Pilihan raya negeri akan datang mempertaruhkan enam negeri sebagai rebutan. Ia bukan sekadar pilihan raya negeri yang biasa-biasa. Sebaliknya, ia akan menjadi suatu bentuk referendum buat kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Memandangkan keenam-enam negeri yang akan terlibat itu berada di Semenanjung, pengundi-pengundi Melayu-Islam akan menjadi penentu sejauh mana kerajaan perpaduan yang menerajui Putrajaya diterima di negeri-negeri tersebut.

Isu pilihan raya

Justeru, isu treler filem Pulau itu pada hemat saya adalah suatu bentuk pancingan “testing the water” untuk membaca bagaimana masyarakat awam khususnya masyarakat Melayu-Islam memberikan reaksi mereka apabila isu-isu seperti itu dilontarkan ke kolam media sosial.

Walaupun terdapat dua kutub bertentangan dalam menyikapi isu treler filem tersebut dalam kalangan masyarakat, tetapi dari sudut pembuatan keputusan dan pelaksanaannya, lembaga negaralah yang menjadi kata pemutus terakhir.

Hakikatnya filem Pulau sudah pun diputuskan statusnya semenjak sebelum PRU15 lagi.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap tapisan filem iaitu Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia telah pun meluluskan filem tersebut pada September 2022 tahun lepas untuk ditayangkan pada March 2023 bawah kategori P13, yakni bukan untuk tontonan umum sebaliknya mereka yang di bawah umur 13 tahun hanya akan dibenarkan menonton jika terdapat pengawasan serta bimbingan daripada ibu bapa atau penjaga.

Justeru, filem Pulau sudah pun melalui semua prosedur yang ditetapkan oleh negara untuk melayakkannya ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia.

Dua kutub yang bertentangan dalam menyikapi isu ini adalah cerminan kepada keadaan politik Malaysia yang turut terbelah dan terpecah.

Jika kita mengambil wacana-wacana yang terpantul daripada treler filem Pulau ini sebagai suatu penzahiran awal kepada PRN nanti, apa yang boleh disimpulkan ialah di negeri-negeri yang demografi pengundinya adalah dominan Melayu (Terengganu, Kelantan, Kedah), pengaruh Perikatan Nasional (PN) masih belum tergugat.

Manakala di negeri-negeri yang demografi pengundinya lebih bercampur-campur (Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan) Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenanginya.

Saya berpandangan semakin dekat dengan PRN, semakin banyak isu-isu yang bersangkutan dengan etnik dan agama akan dilontarkan ke ruang awam.

Isu treler filem Pulau sudah pun semakin sejuk. Namun filem penuh Pulau yang bakal ditayangkan pada bulan Mac 2023 nanti boleh sahaja menjadi bara yang menyala jika dikipas-kipas oleh operator politik. Apatah lagi Mac adalah juga bulan Ramadan — bulan yang dianggap suci buat umat Melayu-Islam. – 24 Januari, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen