Barat harus proaktif lawan Islamofobia


SUDAH sampai masanya semua negara terutamanya negara-negara Barat dan bukan Islam mengambil satu langkah yang lebih proaktif serta berkesan untuk menyingkirkan sebarang sikap yang menjerumus kepada Islamofobia. 

Islamofobia adalah satu istilah kontroversi yang merujuk kepada sikap prejudis, prasangka dan diskriminasi khusus pada agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya. 

Walaupun rata-rata masyarakat dari kalangan negara Barat dan bukan Islam masih mengamalkan sikap toleransi antara agama dan budaya, namun masih terdapat segelintir individu serta pertubuhan yang ada di dunia barat yang suka mengatakan serta melemparkan pelbagai kata-kata kesat serta perkara negatif terhadap agama Islam itu sendiri serta umat Islam secara keseluruhannya.

Antaranya tuduhan pengganas dan menghina tatacara kehidupan serta pemakaian umat Islam yang menutup aurat yang dilabel sebagai ketinggalan zaman serta dilihat sebagai satu bentuk penindasan khususnya terhadap kaum wanita.

Mereka juga mengatakan umat Islam masa kini lemah kerana masih berpegang teguh terhadap ajaran agama Islam yang kuno serta ketinggalan zaman serta pelbagai tuduhan negatif lain yang menyinggung perasaan serta hati hampir 2 billion umat Islam di serata dunia.

Terbaru, kita didedahkan dengan tindakan Islamofobia ekstrem seorang pemimpin Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm.

Tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Beberapa negara Islam termasuk Malaysia mengecam keras perbuatan kurang ajar pemimpin berkenaan. 

Akibat pelbagai fitnah serta tuduhan negatif yang sering dilemparkan terhadap agama Islam, umat Islam menjadi mangsa gangguan serta serangan ganas oleh individu serta pertubuhan yang ekstrem dan melampau. 

Pada November 2019 kita didedahkan dengan kemunculan sebuah video rakaman keselamatan yang melibatkan seorang lelaki yang menumbuk dan memijak seorang wanita Islam yang sarat mengandung tanpa provokasi di sebuah kafe di Sydney, Australia.

Kejadian terbabit disifatkan oleh ramai pihak sebagai satu bentuk serangan Islamofobia. 

Tidak beberapa lama sebelum itu pada Mac 2019, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden serangan terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Kejadian terbabit dilakukan oleh pengganas kulit putih. Lebih 50 orang kehilangan nyawa dalam kejadian berkenaan serta berpuluh-puluh mangsa lagi cedera parah. 

Segala fitnah dan tuduhan negatif yang sering dilemparkan terhadap agama Islam dan umat Islam menunjukkan individu serta pertubuhan yang terlibat betul-betul tidak memahami ajaran sebenar yang dibawa oleh agama Islam serta kehidupan sebenar umat Islam. 

Akibat kedegilan mereka untuk belajar mengenali agama Islam secara dekat serta bercampur gaul dengan umat Islam itu sendiri menyebabkan perasaan syak wasangka dan salah faham wujud dalam pemikiran mereka. 

Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan secara, nescaya sikap Islamofobia akan terus berlaku serta mula mempengaruhi generasi muda yang berada di negara Barat dan bukan Islam. 

Ini sekali gus akan meningkatkan lagi sikap Islamofobia orang bukan Islam di Barat terhadap umat Islam pada masa akan datang. 

Oleh itu, tindakan proaktif perlu diambil dengan serius dan segera bagi membendung sikap Islamofobia ini khususnya di negara-negara Barat dan bukan Islam. 

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah sesi penerangan dan pendidikan berterusan.

Usaha penerangan dan pendidikan secara berterusan ini boleh dilakukan melalui sesi dialog, bual bicara, temuramah, syarahan, serta debat antara umat Islam serta dengan masyarakat Barat dan bukan Islam. 

Negara Barat dan bukan Islam juga perlu memberi pendidikan awal kepada rakyat mereka di peringkat sekolah mengenai ajaran agama Islam yang sebenarnya. 

Masyarakat Barat dan bukan Islam perlu tahu yang Islam mengutamakan kedamaian serta bencikan permusuhan.

Islam juga melarang keras umatnya untuk melakukan sebarang jenis penindasan dan kekejaman pada orang lain.

Islam mengutamakan toleransi terhadap semua pihak tanpa mengira bangsa serta agama. 

Tindakan keganasan yang dilakukan oleh segelintir umat Islam semenjak beberapa tahun kebelakangan ini tidak langsung mencerminkan dan mewakili ajaran agama Islam yang sebenarnya serta umat Islam keseluruhannya. 

Masyarakat Barat dan bukan Islam harus menghentikan sebarang usaha untuk menyamakan agama Islam dan seluruh umat Islam dengan sebarang aktiviti atau perkara yang melibatkan keganasan. 

Perlu diketahui isu Islamofobia ini mula terima perhatian yang serius daripada masyarakat antarabangsa.

Pada Mac 2022, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi untuk menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia. 

Resolusi itu, yang diperkenalkan oleh Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menyeru usaha antarabangsa untuk mempromosi budaya toleransi dan keamanan di semua peringkat, dengan menghormati hak asasi manusia, kepelbagaian agama dan kepercayaan. 

Pada masa sama juga, usaha boleh digerakkan di peringkat antarabangsa bagi mewujudkan satu bentuk konvensyen atau peruntukan undang-undang khas dan jelas yang melarang sebarang perkara yang boleh menjerumus kepada sikap Islamofobia itu sendiri. 

Cadangan ini penting bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya melemparkan kata-kata kesat dan prejudis terhadap agama Islam serta umat Islam secara keseluruhannya hingga boleh membentuk suasana kebencian serta salah faham dalam masyarakat di semua negara. 

Kewujudan sebuah undang-undang khusus di peringkat antarabangsa mengenai isu ini juga dilihat penting supaya umat Islam dapat dilindungi daripada sebarang sikap Islamofobia yang jelas bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat Barat selama ini. β€“ 24 Januari, 2023.

* Dr Muzaffar Syah Mallow, profesor madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen