PAS, Terry Jones, Charlie Hebdo dan Rasmus Paludan


Faisal Tehrani

SEHINGGA pagi 23 Januari 2023, belum kelihatan Parti Islam Semalaysia (PAS) dan aktivisnya membuat apa-apa respons signifikan mewakili pengundi mereka untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom. 

Jika ini satu perlumbaan merebut perhatian umat Islam, iaitu siapa yang lebih sensitif (nilai sensitif adalah membawa kesan kepada justeru beriman), maka Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tampak lebih mendahului. 

Ini kerana beliau sudah menggesa supaya kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di Sweden. 

Akan tetapi ada beberapa pelajaran masa lalu untuk mendepani isu Rasmus Paludan ini. Supaya kita yang beragama Islam tidak melulu. 

Masihkah ingat dengan Terry Jones, dan Charlie Hebdo?

Terry Jones adalah seorang pastor di sebuah gereja kenit dengan jumlah pengikut yang kecil, seputar 50 orang.

Saat ulang tahun ke-10 peristiwa September 11, 2001 yang mengakibatkan tragedi di World Trade Center, New York kian menghampiri, Jones dan pengikutnya mengisytiharkan Islam sebagai “agama palsu” dan “syaitan” dan berhasrat membakar al-Quran di perkarangan gerejanya.

Berita Jones berniat membakar kitab suci umat Islam itu merebak dengan lekas sekali.

Ia menerbitkan protes, rusuhan, dan malangnya keganasan di seluruh Eropah, Timur Tengah, dan Selatan Asia pada 2010.

Jeneral David Petreaus, komander perang Amerika Syarikat (AS) dan Nato di Afghanistan menyatakan keresahannya, “I am very concerned by the potential repercussions of the possible Koran burning; Even the rumor that it might take place has sparked demonstrations. . . . Were the actual burning to take place, the safety of our soldiers and civilians would be put in jeopardy and accomplishment of the mission would be made more difficult.” 

Setiausaha Negara Hillary Clinton ketika itu pula menamakan perbuatan itu aksi yang “disrespectful and disgraceful”.

Bahkan aktres tersohor dan ikon budaya pop Angelina Jolie, ikut mengutuknya dan menyifatkan ia kerja bodoh: “I have hardly the words that somebody would do that to somebody’s religious book.” 

Meskipun Jones dihina secara publik, malah oleh pemimpin Amerika dan seluruh dunia, tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap beliau.

Umat Islam sejagat berasa hairan dan Amerika terus dimarahi.

Kaedah AS menanganinya agak berbeza dengan pelusuk dunia yang lain. Pertamanya, Amerika membenarkan “kebebasan bersuara yang demikian luas”.

Maka tidak banyak keterhadan dipaksakan menerusi undang-undang. Ini juga bermaksud pihak berkuasa kurang terlibat dalam mendefinisikan sebarang parameter untuk bagaimana harus bersikap dalam keadaan seperti ini. 

Tanpa campur tangan dan penglibatan kerajaan, maka masyarakat yang harus mencipta respon sendiri menurut lunas undang-undang untuk mengekang ucapan kebencian, seperti yang dilakukan oleh Jones.

Kerajaan tidak memberitahu bagaimana melakukannya. 

Maka warga negara yang waras dan sihat yang harus aktif berperanan untuk menangkis sebarang ucapan, kenyataan atau aksi kebencian dengan ucapan, kenyataan atau aksi kasih sayang.

Ini akan membantu keseimbangan dan keharmonian dalam masyarakat.

Nama model ini adalah model respons sosial.

AS mempercayai yang sebuah komuniti sihat, akan membenarkan institusi agama, badan sivil dan kumpulan advokat serta mana-mana pihak berpengaruh untuk terlibat memberikan tekanan sosial kepada sebarang ucapan atau aksi perdana yang pelbagai.

Dalam konteks Jones, ucapan beliau sah dari segi undang-undang di AS akan tetapi tokoh masyarakat Kristian, Yahudi, malah presiden Amerika tatkala itu Obama, setiausaha negara, setiausaha pertahanan dan ramai lagi personaliti berpengaruh mengecam tindakannya.

Respons awam juga hebat menjadikan Jones sebagai pariah sosial.

Kumpulan aktivis internet menggunakan satira untuk membodohkan Jones kembali, antara lain dengan video satira “Dude, You Have No Quran!” Dan mendapat tontonan berjuta orang di platform YouTube.

Tekanan awam (tanpa perlu undang-undang) menyebabkan Jones dipulau sehingga anaknya sendiri, Emma enggan mengaku ayahnya.

Ini menjadikan perbuatan Terry Jones itu satu panduan untuk orang lain kalau-kalau ada yang teringin melakukan yang sama iaitu membakar Bible, Veda, Talmud; atau apa sahaja.

Kes kedua yang hebat membakar seluruh dunia ialah insiden komik Charlie Hebdo menerbitkan kartun Nabi Muhammad SAW pada 2006 yang membuka jalan kepada serangan teroris di Perancis pada 2011, 2015 dan 2020.

Kita mesti mengerti terlebih dahulu, dalam sejarah Islam, figur yang paling dicemuh ialah Nabi Muhammad dan Khalifah Ali ibn Abi Talib. Bermacam-macam bentuk kejian dan ejek dilemparkan. 

Kecaman dan fitnah terhadap Saidina Ali misalnya dilakukan di atas mimbar masjid di seluruh Syams sepanjang pemerintahan Umaiyyah, ini membuatkan orang Damsyik menyangka yang bukan-bukan tentang ahli keluarga Nabi di Madinah dan Kufah.

Saidina Ali menjawabnya dengan khutbah, anekdot dan seruan surat yang kemudian terhimpun sebagai satu dokumen sasterawi bernama Najhul Balaghah.

Surat 53 kiriman baginda kepada Gabenor Mesir misalnya pernah dibaca oleh Anwar sempena menyambut Tahun Baru 2023 di Masjid Putra.

Di sebalik kejian dan ejekan orang terhadap baginda, Nabi Muhammad menganjurkan para sahabat agar tidak membalas kejahilan orang Musyrik Mekah.

Ini sejajar dengan Ayat 125 surah an Nahl, terjemahannya: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ini juga sesuai dengan ayat 63 dari surah al-Furqaan, terjemahannya; “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Maka meski difitnah sebagai ahli sihir, tukang karut, ahli fiksi dan macam-macam lagi; Nabi Muhammad bertindak sesuai dengan wahyu Allah.

Mengambil contoh bagaimana masyarakat Islam yang matang di Amerika bersikap ketika Terry Jones merumba, kita juga mengimpikan perbuatan Rasmus Paludan ini mesti dijawab secara sivil.

Oleh kerana beliau bukan Islam, tiada sebab musababnya untuk kita memaksakan cara fikir kita (Islam) kepada beliau yang berbeza nilai dan norma.

Maka tidak perlu meroyan menyanggah beliau dengan kekerasan atau bakar membakar juga.

Di sinilah kita ingin melihat kekreatifan ameera PAS, naqibah Perikatan Nasional, ahli Parlimen PAS yang ramai, anak-anak usrah, artis retis yang dibayar, kebijaksanaan Mursyidul Am dan tokoh-tokoh agamawan PAS baik Shahrir Long, Asma Haron, atau Muhammad Fawwaz Muhamad Jan melakukan seperti mana yang dilakukan oleh orang Islam di Amerika ketika mendepani Terry Jones. 

Kenapa kita menujukan ini kepada PAS (sahaja)? 

Ini kerana PAS mempunyai prasarana kewangan dan menguasai pelbagai platform media sosial khususnya TikTok.

Untuk apa mempunyai semua jentera itu jika tidak digerakkan untuk Islam dan umat?

Jalan yang dipilih seharusnya bukan menjadi teroris yang menyerang pejabat Charlie Hebdo. Kita menolak ekstremisme dan benihnya. 

Inilah PAS yang kita inginkan hari ini, mereka banyak di Parlimen. Tapi benih yang banyak jangan sampai mandul.

Kita menginginkan aktivis PAS yang bukan meleret menjadi jurucakap penghalalan sogok pilihan raya, pembenci kaum dan macam-macam lagi yang memburukkan nama Islam. 

Kalau mahu jadi pejuang di internet, nah terokai kreativiti anda dan lawanlah Rasmus Paludan; tunggu apa lagi? – 24 Januari, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen