Malaysia Madani: Membedah ‘Negara Impian’ Anwar


Mohd Azizi Jaeh

27 TAHUN yang lalu, syarahan Anwar Ibrahim tentang masyarakat madani mendapat liputan meluas dalam kalangan cendekiawan di Indonesia.  

Apatah lagi, Anwar memaktubkan konsep madani dalam bab ketiga buku yang dikarangnya, The Asian Renaissance pada 1996.

Pembikinan buku Membangun Negara Madani kali ini hasil ilham daripada sejarah panjang Anwar lebih empat dekad dalam memkirkan “pembinaan negara yang dihasratkan.”

Bagi penulis, naskhah yang diluncurkan pada 19 Januari lalu adalah kesinambungan dari syarahan dan tulisan yang disampaikan, kegiatan intelektual yang dilibati serta urutan sejarah getir yang ditempuhi Anwar di luar kerajaan.

Gagasan yang dilontarkan tidak semestinya sesuatu yang yang asli atau baru. Madani yang dikembangkan dan dipopularkan Anwar dikatakan dipengaruhi rapat “mentor intelektualnya” Profesor Syed Naquib al-Attas.

Sebarang penambahan dan pengolahan isi kandungan (berhubung wacana negara madani) sekarang bertujuan menjadikannya relevan dengan realiti baru dan isu semasa – khasnya orde dunia kini berada di fasa pasca pandemik Covid-19.

Tidak seperti tulisan pertama madani era 90-an, Malaysia mencapai kedudukan pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan dan orde politik dunia ketika itu menuju “Abad untuk Asia.” Sebaliknya, penulisan naskhah madani kali ini ditulis dalam latar keadaan Malaysia dan global sedang berdepan kemelesetan ekonomi dampak daripada Covid-19.

Kini, gagasan yang terhenti dan tertangguh sejak pertengahan 90-an itu dapat disambung semula untuk proses penyempurnaan – “Malaysian dream.”

Penulis tidak bercadang membahaskan sejarah, konsep dan terminologi “madani” (dari Al-Farabi, Ibnu Khaldun) secara ilmiah dalam tulisan ini.

Sebaliknya penulis cenderung untuk mengupas isu ekonomistik sebagai satu contoh pelaksanaan agenda negara madani.  

Umumnya, madani adalah kerangka mewujudkan sebuah peradaban yang tinggi (high civilization) meliputi kemajuan dari segi daya pemikiran, pemantapan etika dan spiritual serta keseimbangan material. Dengan itu, gagasan madani diharapkan dapat mencairkan kejumudan yang pekat.

Seorang pemimpin pastinya akan mengemukakan idea futuristiknya tentang halacara memajukan ekonomi bangsa atau masyarakat yang dipimpinnya. Idea reform atau islah bukan lagi khayalan, imaginasi dan slogan yang bermain di bibir, tetapi menggariskan masa depan yang penuh harapan.  

Dalam sejarah dunia, Presiden Amerika Syarikat, Lyndon B. Johnson (1963-1969) umpamanya pernah mengemukakan agenda dan polisi besar “The Great Society” bagi mengeluarkan Amerika daripada krisis kemiskinan dan ketidakadilan antara kaum sekaligus memperkasakan masyarakat.

Madani sebagai Jalan Tengah dan Keseimbangan

Dalam menyediakan limpahan ekonomi kepada semua lapisan kelas dan kaum, maka tanggungjawab kerajaan dan pemodal perlu seimbang. Apa yang perlu ditangani ialah kesan sosial kemajuan ekonomi yang kita rasai sejak merdeka memang tidak sama rata agihannya.

Agenda madani perlu berusaha setangkasnya meletakkan keseimbangan antara “keuntungan dengan tanggungjawab sosial.”

Keuntungan tetap dijadikan dasar dan program oleh governans, bahkan perlu lebih menekankan tanggungjawab kemanusiaan, kerana tanpa keuntungan tidaklah akan berlaku pertumbuhan, dan tanpa pertumbuhan ekonomi maka sukarlah berlaku pengagihan yang adil.

Dalam kerangka dan visi demikianlah, perencana dasar perlu menncari solusi terbaik tentang kesaksamaan agihan – dasar yang mesra untuk semua wajib diperkenalkan, ketika seluruh dunia hidup dalam kondisi pascanormal.

Ini bersesuaian dengan impian dan hasrat Anwar sering sebutkan tentang ekonomi yang manusiawi – dalam mencari keuntungan, jangan kita robohkan nilai-nilai kemanusiaan.

Ini bukan bermaksud bahawa perencana, birokrat dan kepimpinan sebelum ini tidak meletakkan hasrat agihan yang adil, cuma sistemik struktural ekonomi negara yang diwarisi terlalu centric kepada golongan kapitalis yang akhirnya menyisihkan golongan pinggir untuk mendapatkan peluang.

Langkah awal dilakukan Anwar adalah untuk menghentikan pembinaan mercu tanda pencakar langit (legasi dan perbelanjaan berbillion ringgit), sebaliknya menumpukan pembangunan kemudahan dan kebajikan peniaga serta penjaja kecil di ibu kota Kuala Lumpur untuk berniaga.

Bertolak dari gagasan madani ini, peranan negara (kerajaan) dan peranan aktor bukan negara (pemodal) perlu bergerak seimbang – belajar menghormati kepentingan dan kekuatan pihak masing-masing.

Untuk membina keserasian, penerapan nilai-nilai murni, etika akhlak, menolak rasuah dalam pentadbiran perlu dihayati.

Dalam merumuskan pendekatan ini, negara yang diimpiankan Anwar perlu dilihat centrist atau jalan tengah–tidak terlalu “ekstrem ke kanan” dan tidak terlalu “ekstrem ke kiri” dari sudut mengendalikan permasalahan ekonomi.

Menerusi gagasan itu juga, ia boleh menjamin keseimbangan di antara kebebasan individu dengan kestabilan masyarakat.   

Buku madani hakikatnya bukanlah sebuah dokumen yang lengkap. Ia hanya mengandungi hujah dan gambaran umum yang Anwar fikirkan mampu untuk menstrukturkan semula, menyelesaikan masalah, memperbaiki, memperkemas dan mengislahkan negara ini.   

Buku yang ditulis ini terdapat dua aspek penting; tidak terlalu konseptual tetapi tidak juga terlalu mengkhusus. Ada aspek hasrat yang dinginkan dan ada aspek cadangan dasar yang perlu dilakukan.

Pelaksanaan sesuatu dasar dan idea besar sudah tentu melibatkan banyak pihak berkepentingan dan berkepakaran. Buku madani sebenarnya tidak mempersembahkan laporan berbentuk numerikal, data yang sistematik dan bukti saintifik daripada badan yang berautoriti. Sesuatu yang boleh dikritik oleh pembaca!  

Dasar dan program yang diperlukan harus mengubah perkara kebiasaan dan bertindak di luar kebiasaan dan dapat menyesuaikan keadaan semasa agar pemulihan ekonomi negara dapat disegerakan. Secara tidak langsung akan memulihkan semula orde politik yang stabil selepas PRU ke-15.

Namun, beberapa masalah paling sukar yang kita hadapi pada hari ini menurut Penasihat Pengurusan Amerika, Peter F. Drucker ialah “kewujudan kejayaan pada masa lalu.”

Kejayaan Malaysia yang pernah mencapai negara industri baru serta mencatatkan pertumbuhan hampir 10% pada awal dan pertengahan 1990-an – adakah boleh diatasi dan menghasilkan lebih baik oleh pentadbiran serta gagasan idealistik Anwar ini. – 23 Januari, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen