Anjing pengesan mesti dihargai, diberi pengiktirafan tertinggi, kata ketua unit K9


Noel Achariam

Unit K9 Jabatan Bomba dan penyelamat ditubuhkan sejak 2002 dengan 15 pegawai dan 12 anjing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Januari, 2023.

BANYAK yang diketengahkan mengenai anjing pengesan yang memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

Namun, hampir tiada yang mengetahui kewujudan dan fungsi haiwan tersebut.

Anjing-anjing ini yang menjadi sebahagian daripada pasukan SAR mendapat perhatian meluas di seluruh negara apabila rakyat Malaysia memuji haiwan itu dan unit K9 Bomba yang menguruskannya.

Tetapi, apa yang rakyat Malaysia lihat ialah hanya produk unit K9 Bomba yang berada di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat.

The Malaysian Insight baru-baru ini melawat markas anjing-anjing ini di Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada 2002 bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang operasi mereka.

Ketua unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Donny Chap berkata banyak usaha dilakukan untuk melatih anjing di balai mereka.

Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat kini mempunyai 33 anjing pengesan antaranya jenis Labrador Retrievers, Border Collies, English Springer Spaniels dan Belgian Malinois. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Januari, 2023.

Beliau berkata mereka kini mempunyai 33 anjing iaitu jenis Labrador Retrievers, Border Collies, English Springer Spaniels, Belgian Malinois dan lain-lain.

“Kami biasanya mendapatkan anjing dari negara yang tidak mempunyai banyak penyakit.

“Pada masa ini kami mendapatkan anjing dari United Kingdom. Anjing yang kami dapat tidak lebih dua tahun dan terlatih. Jadi, mereka sudah cukup matang untuk ‘berkhidmat’ di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, 22 anjing ditempatkan di Kuala Lumpur, manakala lima di Sabah dan enam di Sarawak.

Chap berkata apabila anjing itu tiba di stesen, mereka dilatih dalam disiplin yang diperlukan untuk operasi mereka.

Beliau berkata empat fungsi utama anjing ini ialah untuk operasi penyiasatan kebakaran, bencana di bandar, mencari mayat dan hutan belantara.

Bagi siasatan kebakaran, beliau berkata tugas anjing itu melibatkan membantu pegawai mencari punca kebakaran.

Mengenai bencana di bandar, tugas anjing termasuk operasi SAR di tanah runtuh, bangunan runtuh atau struktur untuk mengesan mangsa yang masih hidup.

Operasi mencari mayat, katanya, adalah untuk mencari mereka yang sudah meninggal dunia, sama ada di darat atau di dalam air, manakala operasi hutan belantara adalah untuk mengesan mereka yang sesat di dalam hutan, gua atau gunung.

Ketua unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Donny Chap berkata banyak usaha dilakukan untuk melatih anjing di balai mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Januari, 2023.

Chap berkata jabatan mereka menetapkan perkhidmatan anjing pengesan adalah sehingga lapan tahun dan jika anjing itu masih sihat mereka akan melanjutkan perkhidmatan haiwan tersebut kepada 10 tahun.

“Kebanyakan anjing sudah berada di sini selama lima hingga enam tahun.

“Apabila anjing tiba di sini biasanya mengambil masa kira-kira satu atau dua bulan untuk mereka terikat dengan pengendali terpilih. Kemudian kebanyakan masa anjing ini akan berlatih dengan pengendali mereka.”

Beliau berkata semua pengendali yang ditugaskan akan melatih anjing itu pada masa tertentu.

“Latihan mereka biasanya dua jam sehari. Kami juga mempunyai tiga pasukan bersiap sedia setiap 12 jam jika mereka diperlukan untuk sebarang operasi. Selepas itu anjing-anjing itu direhatkan.”

Unit K9 Bomba ditubuhkan pada 2002 dengan dua disiplin iaitu penyiasatan kebakaran dan bencana di bandar. Ia bermula dengan 15 pegawai dan 12 anjing.

Tahun lalu, unit K9 mengendalikan lebih 200 operasi di seluruh negara, di mana kira-kira 125 daripadanya menjalankan siasatan kebakaran dan selebihnya dalam operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya sedang mengkaji cadangan menambah unit K9 di kawasan utara.

Beliau juga berkata pada tahun ini, jabatan itu akan mendapatkan 12 lagi anjing pengesan selepas mendapat kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi. – 22 Januari, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen