Rundingan awal agihan kerusi dengan BN bermula, kata Rafizi


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata tarikh perbincangan rasmi melibatkan pemimpin parti peringkat pusat berhubung perkara itu masih belum diputuskan.– Gambart fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2023.

PAKATAN memulakan perbincangan tidak rasmi dengan BN bagi merundingkan agihan kerusi dan lambang parti yang akan digunakan dalam pilihan raya negeri, kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu berkata, tarikh perbincangan rasmi melibatkan pemimpin parti peringkat pusat berhubung perkara itu masih belum diputuskan.

“Belum secara rasmi, yang berlaku secara sekarang tidak rasmi,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau memberi contoh, perbincangan tidak rasmi itu dijalankan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan pengerusi Umno negeri itu.

“Di Terengganu pun saya tahu Pengerusi Majlis Pimpinan Terengganu Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad sudah jumpa dengan Pengerusi Umno Ahmad Said .

“Tapi yang rasmi belum. Kita (sedang) menetapkan parameter (perbincangan). Ia belum berlaku,” katanya kepada pemberita selepas ucapan di Konvensyen PKR Terengganu.

Rafizi ditanya mengenai kerjasama PH dan BN dalam PRN yang akan berlangsung di Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

PRN itu perlu berlangsung pada tahun ini di negeri berkenaan yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung November lalu.

PH dan BN kini menjadi dua gabungan utama dalam kerajaan perpaduan pimpinan perdana menteri kesepuluh Anwar Ibrahim.

Kedua-dua parti itu saling bertembung di banyak kerusi Parlimen dan juga kerusi negeri dalam PRU 19 November.

Rafizi dalam sidang medianya juga berkata dasar rundingan mengenai dua perkara itu perlu dipersetujui dalam PH dan rakan kerjasama seperti BN terlebih dahulu.

Pada masa sama beliau berkata PH akan bersedia menghadapi PRN jika termasuk jika diadakan lebih awal di tiga negeri bawah PAS.

“Kita cuba yang terbaik. Itu hak kerajaan negeri mereka nak buat awal atau tak, itu bukan dalam kawalan kita.

“Tapi kita kena bersedia dengan awal malah saya ingat PKR paling awal melancarkan konvesyen pilihan raya negeri,” katanya.– 21 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen