Langkah madani membangun etika kemasyarakatan


Mohd Syazreen Abdullah

KATA seorang filsuf Islam al-Farabi, negara yang baik ialah negara yang masyarakatnya sejahtera kerana dipimpin oleh pemimpin yang bijak. Beliau tidak menyebut bahawa menjadi negara yang baik mesti berbentuk negara Islam. Sebaliknya al-Farabi memposisikan agama dalam negara sebagai panduan etika dan moraliti. Disebut kebahagian jasmani mahupun ruhani (sa’adah maddiyah wa ma’nawiyyah)

Pemikiran etika beragama bukan lahir dari proses doktrinisasi tetapi ia lahir dari pengetahuan falsafah yang mendalam dalam diri tentang mengenal keberadaan wujud dirinya dalam kehidupan menjadi hamba yang taat. Termasuklah menjadi warganegara yang baik.

Justeru, daripada kefahaman mengenai konsep agama, diluhurkan dalam kefahaman Madani daripada kata akar iaitu “Deen” sekali gus Madinah suatu kota dalam diri dan tempat di mana penjelmaan “Deen” itu dijelmakan sebagai etika keadilan, karamatul insaniyah, toleransi dan hikmah yang diamalkan dengan sempurna.

Hal itulah yang harus wujud dalam sebuah negara yang disebut negara yang ideal (al-Madinah al-Fadilah).

Menurut al-Farabi, negara yang ideal umpama kehidupan bernegara dengan anggota tubuh yang saling memerlukan dan melengkapi kekurangan. Seandainya terdapat kesakitan dalam anggota badan tersebut, maka sakitlah anggota badan yang lain. Begitulah ciri-ciri negara yang baik menurutnya.

Justeru negara sejahtera adalah masyarakat yang di dalamnya saling bekerjasama dan saling berkebajikan. Hal ini kerap dijelaskan beliau dalam kitabnya yang masyhur Ara’ Ahl al-Madinah al-Fadhilah dan huraian dari Kitab Siyasah al-Madaniyyah.

Mencapai kebahagiaan bukan dari dirinya sendiri, tetapi adanya sokongan sistem masyarakat yang menitikberatkan etika perbuatan nilai baik dan sejahtera.

Justeru, perlu kepada pemimpin dan warga yang benar-benar memahami hakikat insaniyah sekali gus pertalian erat hubungan kecintaan dengan Tuhan dan manusia.

Bagi al-Farabi, dalam konteks ini selain mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat, harus mempunyai watak kepimpinan dan pemikiran berhikmah, keadilan dan keberanian sekaligus berwibawa menguruskan masalah umat.

Tumpuan Negara Madani adalah pada aspek insaniyahnya, bukan aspek kebinatangannya. Membina pemikiran Madani seperti melahirkan manusia yang lebih peka terhadap nasib kemanusiaan. Manusia yang peduli kebajikan sesama manusia lain. Sifat empati dan keinsanannya yang tinggi dalam menjadi manusia.

Itulah ciri warganya yang seharusnya ada dalam Negara yang mahu menjadi seperti al-Madinah al-Fadhilah.

Selain mempunyai masyarakat baik yang bekerjasama, dan saling membantu mencapai kebahagian, tatkala mencapai hal itu, masyarakat perlukan pemimpin yang mampu menemukan mereka tentang nilai mencapai matlamat kebahagian agar tidak tersasar dan tergelincir kepada kemusnahan dan kerosakan.

Membina sesuatu corak dan rentak negara tidak mudah. Al-Farabi membahagikan beberapa ciri negara yang boleh tergelincir dan boleh membinasakan sesebuah proses ketamadunan. Selain disebut al-Madinah al-Fadhilah, ada juga al-Madinah al-Jahiliyah iaitu di mana para warganya pada mulanya meyakini konsep mencapai kebahagian namun jauh tersasar tindakannya dengan apa yang diyakini sehingga disebut juga negara pada warga dan pemimpinnya yang mengalami kesakitan jiwa akibat perbuatan-perbuatan hina mereka. Bentuk kerosakan ini disebut sebagai
al-Madinah al-Fasiqah.

Selain itu, harus berhati-hati agar tidak jatuh dalam lembah berpaling tadah dengan apa yang diyakini pada awalnya dalam mencapai kebahagian sebuah negara. Boleh jadi kelalaian menjadikan kita mudah terpengaruh dengan pandangan-pandangan dari luar dan lain yang akhirnya tujuan asal kita menyimpang.

Hal ini disebut al-Farabi sebagai al-Madinah al-Mubaddilah dan akhirnya sesebuah negara hancur walaupun dipimpin dengan kepimpinan yang baik tetapi mudah diambil kesempatan atas kepercayaan dan kebaikan tersebut dengan bentuk kepalsuan dan kebatilan, serta penipuan.

Akhirnya negara pada asalnya menuju kebaikan iaitu mengangkat semangat al-Madinah al-Fadhilah berhujung menjadi al-Madinah al-Dallah.

Namun, sesekali jangan mudah berasa yakin dan selesa apa yang kita miliki. Sesebuah negara yang mempunyai warga dan pemimpinya yang baik tidak sesekali mudah berdabik dada dan angkuh dengan segala apa yang kita kecapi seperti nikmat kosmopolitan atau kepelbagaian budaya, bangsa dan agama. Kebebasan yang diberi tidak menjadi asbab pada semua perkara tanpa pertanggungjawaban warganya.

Sebuah negara yang memiliki warga yang berbagai komuniti mandiri, disebut al-Farabi sebagai Nawaib al-Mudun iaitu bentuk komuniti mandiri yang bebas dan berbagai-bagai kelompok dalam negara tersebut. Kepelbagaian ini harus ditanggapi dengan rencam dan tidak sesekali menganiaya mana-mana kelompok.

Ada ketika kepelbagaian ini kadang-kadang akan menyulitkan proses kebahagian sebuah negara akibat ragam dan sikap warganya yang rencam, tetapi pada peringkat ini semua warganya harus menikmati nilai universal pada segala tempat dan keadaan.

Justeru, proses terus menerus dalam mencari kebahagiaan sesebuah negara perlu matlamat yang jelas. Bukan sekadar retorika. Bukan penyedap di bibir konon nampak lebih gah di pandangan dan mengaburi fikiran warganya.

Harus ingat, sebahagian rakyat sudah jemu dengan berbagai-bagai tawaran saban kali yang tidak kurang tonjolnya seperti kata-kata Madani. Sebelum ini, Islam Hadhari.

Apa yang menuju ketamadunan bangsa dan pemikiran bangsa kita hari ini? Apakah bangsa kita sudah mencapai bangsa yang bertamadun menepati ciri-ciri al-Madinah al-Fadhilah?

Mungkin belum kerana itu wujudnya kesibukan permainan retorika bukan kerja keras pelaksanaan dalam mengubah kemunduran pemikiran umat manusia di negara kita khususnya Malaysia hari ini.

Keutamaan berfikir

Sebagai warga, kita harus bersikap optimis terhadap usaha yang mahu dibangunkan. Apatah lagi usaha itu gagasan besar seperti Madani. Sebelum mencapai sebuah negara Madani, tentu fokusnya beralih kepada rakyat dan pemimpinnya.

Madani tidak akan tercapai andai rakyat masih berfikiran anti berfikir, bersikap ketidakadilan dan bencikan ilmu pengetahuan sebaliknya hanyut dengan rasuah dan segala penindasan.

Mencapai Madani tidak semestinya menjadi seorang penguasa berfahaman wilayahtul fakih. Tidak perlu menjadi “puppet” kepada jemaah kelompok gerakan Islamis.

Menurut al-Farabi, hal itu tidak akan berlaku sekiranya pemimpin punya fikiran politik yang teosofi – mempunyai rangka pengetahuan pemikiran falsafah yang kaya dengan kemahiran logika, pertimbangan psikologi, metafizik sekali gus mampu mencerakinkan persoalan dan pemasalahan dasar umat. Tidak sekadar masalah ranting atau mudah terpengaruh dengan dogma agama sempit dan asutan berbau ideologi.

Sebaliknya, andai pemimpin yang gagal mempunyai pemikiran falsafah dalam soal politik, budaya dan seni untuk memahami persoalan dasar umat, mereka hanya mampu dan terus dibuai dengan penyelesaian masalah berupa material. Ciri penyelesaian ini tentunya tersasar dari matlamat sebuah kerja membangun ketamadunan atau madani.

Tidak pelik di Malaysia, tumbuhnya kolej dan universiti hanya sekadar gah pada nama dan ranking tetapi musnah agenda intelektual dan peradaban. Perpustakaan yang tiada ruh dah hilang fungsinya.

Cuba bandingkan kualiti buku-buku yang ada di pasaran hari ini dengan negara-negara membaca yang maju? Projek memandaikan anak bangsa diremehkan. Martabatkan dan berikan maruah kepada industri pembukuan kita pada hari ini.

Berapa banyak buku-buku karya agung telah diterjemahkan di negara kita? Mungkin ada tetapi masih mundur berbanding oleh negara-negara maju.

Ironinya, membangunkan peradaban ilmu tidak mendapat tempat berbanding sibuk membina masjid, taman al-Quran dan material islamik. Dan itu bukanlah kerja-kerja membangun usaha ke arah Madani.

Berhentilah menunggang istilah madani andai hal-hal mencerdaskan pemikiran dan etika umat tidak dijadikan agenda utama dan serius kerajaan pada hari ini di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim. Selain memulihkan sektor ekonomi, pulihkan kembali Institusi Pemikiran Islam dan Peradaban di negara ini. Letakkanlah para sarjana kita di tempat yang selayak bagi mereka.

Memang benar mencipta madani mesti berkonsepkan wujud agama di dalamnya. Tumpukan soal nilai universal dan etika agama. Mungkin kerajaan hari ini tidaklah sampai menjadi penguasa bersifat autoritarian dan polis syariah. Memposisikan agama sebagai alat menindas minoriti. Jauh sekali meniru pemikiran seperti al-Maududi yang mahu menekankan pembentukan negara konsep al-Illah sebagai penyerahan segala bentuk undang-undang termasuk soal negara kepada Allah.

Sikap ini yang mematikan semangat demokrasi tentulah jauh menyimpang dari makna madani yang sebenar.

Tetapi kita harus berhati-hati dan jelas tumpuan madani tentulah difokuskan agenda nilai universal dan kebahagian warga yang dikecapi dengan tumpuan membangunkan kerja-kerja peradaban. Jangan tersasar menjadi negara yang kononnya Islamik sehingga melupakan aspek mencerdaskan etika dan pemikiran kemasyarakatan.

Demikian, mencapai sebuah negara yang ideal tidak mudah tetapi usaha dan kerja keras membangunkan agenda tersebut harus didukung semua pihak termasuk warganya. – 20 Januari, 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen