Guan Eng salahkan kerajaan terdahulu berhubung masalah ekonomi


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa pentadbiran kerajaan terdahulu gagal mengekang kejatuhan nilai ringgit serta mengawal inflasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2023.

KEGAGALAN pentadbiran kerajaan terdahulu untuk mengawal inflasi dan kemerosotan nilai ringgit menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata kerajaan perpaduan kini menguruskan keadaan dengan lebih baik, memetik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Sebab utama kenaikan kadar faedah berpunca daripada keperluan BNM untuk membendung inflasi dan juga mengekang penurunan nilai ringgit, yang jatuh ke paras terendah berbanding kedua-dua dolar Singapura dan AS di bawah kerajaan terdahulu.

“Jelas sekali, kebimbangan terhadap inflasi dan kejatuhan nilai ringgit yang semakin meruncing berkurangan di bawah kerajaan perpaduan baharu yang dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat untuk pelabur, bimbang dengan prospek kerajaan alternatif yang tidak cekap, ekstremis dan perkauman,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.

BNM hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75%.

OPR merosot ke paras terendah - 1.75% - pada awal 2020 selepas wabak global Covid-19.

Bagaimanapun, pada tahun lepas kadar itu dinaikkan empat kali kepada 2.75%.

Ismail Sabri Yaakob adalah perdana menteri tahun lalu, setelah dilantik selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada Ogos 2021, hanya selepas 15 bulan memegang jawatan.

Lim, bagaimanapun menegaskan ia adalah kegagalan kerajaan Muhyiddin, dan mendakwa walaupun membelanjakan hampir RM600 bilion dana awam, ekonomi kekal tidak stabil.

“BNM telah melaksanakan beberapa siri kenaikan kadar faedah atau OPR tahun lepas sebanyak 1% berikutan kegagalan (kerajaan) sebelum ini untuk melihat kepada inflasi dan kejatuhan nilai ringgit.

“Walaupun hampir RM600 bilion disuntik oleh pentadbiran Muhyiddin, pertumbuhan ekonomi kekal tidak stabil, menimbulkan keraguan tentang keberkesanan dana awam yang dibelanjakan,” kata bekas menteri kewangan itu.

Lim mengalu-alukan keputusan BNM untuk mengekalkan kadar faedah, dan berkata ia menawarkan penangguhan yang sangat diperlukan untuk perniagaan dan peminjam.

Beliau turut memuji kerajaan perpaduan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengembalikan kepercayaan pelabur serta prestasi positif mata wang itu berbanding dolar AS.

“Pembentukan kerajaan perpaduan baharu di bawah Anwar sejak 24 November 2022, turut mengukuhkan keyakinan pelabur dan pasaran, terbukti dengan peningkatan ketara nilai ringgit berbanding dolar AS daripada RM4.75 di bawah kerajaan terdahulu kepada RM4.32 hari ini,” katanya.

“Dengan menghentikan kenaikan kadar faedah, kerajaan akan mempunyai peluang untuk menangani pertumbuhan lebih perlahan akibat kemelesetan AS.

“Menghalang kos pinjaman akan membantu mengurangkan tekanan kos ke atas peminjam individu dan bank serta meningkatkan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi.

“Pemberhentian kenaikan kadar faedah juga merupakan sedikit ang pau Tahun Baru Cina yang diberikan kepada peminjam dan diharapkan akan membolehkan kerajaan perpaduan baharu memberi tumpuan penuh untuk mengurangkan kos perniagaan sambil menjana lebih banyak peluang perniagaan,” tambahnya. – 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen