Berbilion ringgit boleh diselamatkan jika kerajaan dahulu perbaiki kelemahan, kata PM


Ravin Palanisamy

PM Anwar Ibrahim berkata kerajaan pusat boleh menjimatkan sehingga RM6 bilion jika kesilapan yang dikenal pasti oleh ketua juruaudit negara diperbaiki. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysia, 19 Januari 2023.

NEGARA boleh menjimatkan berbilion ringgit jika pentadbiran terdahulu lebih berhati-hati, telus dan bertanggungjawab, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata pentadbiran terdahulu mengeksploitasi kelemahan sistem untuk memperkayakan sekumpulan kecil rakyat.

“Saya tidak mahu mengungkit pengalaman lalu yang ada kekuatan dan kelemahan tertentu.

“Ada sumbangan yang baik dan positif, kita kena terima tanpa mengira fahaman politik mereka tetapi semua kelemahan mesti dihentikan terlebih dahulu.

“Kelemahan terbesar bagi saya ialah cara mengurus, di mana ruang itu digunakan untuk memperkayakan beberapa kumpulan kecil,” kata Anwar hari ini semasa pelancaran tagline “Malaysia Madani”.

Memetik laporan Ketua Audit Negara bagi 2021, Anwar berkata kerajaan pusat boleh menjimatkan sehingga RM6 bilion jika kesilapan yang dikenal pasti oleh ketua juruaudit negara diperbaiki.

“Jika kelemahan yang disebut berulang kali selama beberapa dekad oleh Ketua Audit Negara diperbaiki oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya percaya yakin 5 hingga 6 bilion ringgit boleh diselamatkan,” kata Anwar.

“Dari kajian projek besar termasuk agensi penguatkuasaan kita, jika semua itu dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab, saya yakin berbilion ringgit lagi dapat dijimatkan,” katanya lagi.

Dengan tadbir urus yang baik, Anwar berharap mereka dapat menghadapi krisis ekonomi dengan lebih yakin.

Semalam, Anwar mengarahkan anggota Kabinet meneliti syor ketua juruaudit negara berhubung perkara berkaitan kementerian mereka.

Beliau berkata Laporan Ketua Audit Negara 2021 menjelaskan kesilapan terperinci dan yang berterusan berulang.

Annwar hari ini melancarkan slogan baharu “Malaysia Madani” untuk membawa negara ke hadapan.

Madani diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Konsep itu mencerminkan kepercayaan antara kerajaan dan rakyat dengan ketelusan dan kerjasama. – 19 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen