Warisan tak termakan dengan desakan untuk lepaskan kerusi, kata Shafie


Jason Santos

WARISAN tidak akan termakan dengan tekanan dari parti berdasarkan kaum untuk melepaskan kerusi, kata Shafie Apdal.

Presiden Warisan Sabah itu berkata, jalan untuk maju ialah dengan menjadi majmuk selain menekankan yang mereka akan meletakkan calon yang terbaik dan sesuai untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Katanya, beliau tidak dapat menghalang pandangan yang mengatakan Warisan adalah bayang-bayang Umno, yakni parti yang berasaskan kaum yang mendominasi gabungan Barisan Nasional.

Namun, Shafie menekankan bahawa matlamat utama untuk menang dalam pilihan raya adalah dengan mengetengahkan calon yang boleh menang.

“Cara kami untuk maju ialah dengan menjadikan (parti) sebagai parti berbilang bangsa. Apa yang kami mahukan dalam abad ke-21 ini ialah maju ke hadapan. Warisan bukan untuk sesuatu bangsa sahaja, Warisan untuk semua bangsa dan kaum.

“Perkongsian kerusi perkiara biasa dalam pilihan raya. PBS dulu parti dominan. Mereka pernah bertanding 60 kerusi. Tapi sekarang cuma 13 kerusi negeri dan lima kerusi Parlimen.

“Ini menunjukkan yang mereka sanggup berkorban untuk mengambil alih kerajaan. Tapi kita tak mahu sertai pilihan raya hanya sebab nak jadi YB, kita nak menang,” katanya selepas menutup sebuah forum di Kota Kinabalu.

Warisan telah menjelaskan yang mereka akan bertanding banyak kerusi di negeri itu untuk membentuk kerajaan, namun tidak menafikan yang mereka sanggup bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Sabah.

Mereka juga sanggup untuk berunding dengan Parti Cinta Sabah (PCS) dan parti pembangkang Kadazan Dusun Murut (KDM) yang dikepalai oleh Wilfred Bumburing.

Bagaimanapun, baru-baru ini, PCS mengumumkan yang tidak patut ada parti tunggal dominan, dan Bumburing pula berkata parti tertentu tidak boleh bertanding lebih daripada 50% daripada 60 kerusi negeri dan 25 kerusi Parlimen.

Walaupun tidak menamakan Warisan, namun ramai sedia maklum yang ianya ditujukan pada Warisan yang merancang untuk bertanding di 22 kerusi KDM di negeri itu.

Dalam pada itu, PCS dilihat mengelak untuk berunding dalam gabungan pembangkang di Sabah, namun khabar angin mengatakan yang parti itu akan bekerjasama dengan Parti Anak Negeri (PAN) yang diketuai oleh bekas setiausaha PBS, Henrynus Amin.

Ini menunjukkan yang Sabah bakal mempunyai tiga blok pembangkang iaitu Pakatan Harapan-Warisan, United Sabah Alliance dan gabungan PCS-PAN, selain beberapa parti kecil lain yang baharu ditubuhkan.

“Mereka tak boleh bertanding di semua 22 kerusi KDM. Warisan juga ada pemimpin KDM. Timbalan saya, Darell Leiking (ahli Parlimen Penampang), bendahari Warisan Terrence Siambun (Adun Moyog) dan naib presiden Peter Anthony.

“Jika mereka (PCS) tak sanggup berkorban untuk mengambil alih kerajaan. Tak ada apa yang Warisan boleh buat. Niat kami bukan nak jadi YB.

“Tapi bila kami berunding untuk kerusi, pastikan yang kami akan menang. Kami mesti menang. Tak kalah. Cuma jangan letakkan kata putus sampai menyusahkan kerjasama,” katanya.

Dalam perkara berlainan, Warisan dijangka akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) awal April ini.

Ini berikutan selesainya mesyuarat cabang pada 28 Februari lalu yang mana Shafie berkata bahawa mereka sekarang ini ada lebih 30 hari untuk adakan AGM parti.

Warisan mempunyai lebih 300 cabang di seluruh Sabah. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen