
PEMIMPIN DAP Pulau Pinang memberi peringatan buat penyokongnya supaya tidak berasa selesa dengan kedudukan gabungan pembangkang di pulau mutiara itu.
Ketua menterinya Lim Guan Eng berkata, tidak ada jaminan pasti yang Pakatan Harapan akan kekal berkuasa di negeri itu.
Pulau Pinang telah berada di bawah tampuk kuasa DAP sejak pilihan raya umum 2008 dengan parti itu memegang 19 daripada 40 kerusi negeri.
Lim berkata pemimpin kebangsaan Umno yang baru-baru ini melawat Pulau Pinang telah mengumumkan calon ketua menteri BN iaitu ketua Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow.
“Kita kena kerja keras untuk kekalkan negeri. Kamu mungkin fikir Barisan Nasional tak akan menang tapi janganlah terlalu yakin.
“Pihak sebelah sana berhasrat untuk menang di Pulau Pinang. Pemimpin BN dari (presiden MCA) Liow Tiong Lai sehingga (timbalan presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi dan (naib presiden Umno) Hishammuddin Hussein dah umumkan Teng sebagai calon ketua menteri.
“Kalau dia jadi ketua menteri, dia adalah ketua menteri yang dipilih Umno. Kamu mahu perkara itu (terjadi) atau ketua menteri pilihan rakyat?” soal Lim di hadapan penyokong pembangkang di Esplanade George Town di mana DAP Pulau Pinang hari ini melancarkan jentera pilihan raya untuk PRU14.
Jenteri itu terdiri daripada 113 kereta “Ubah.” Kereta itu diletakkan bendera dan pelekat parti PH selain logo ikonik “Ubah” iaitu burung enggang selain muka pemimpin DAP lain.
“Kita tak boleh main-main lagi. Kita kita serius untuk menang di Pulau Pinang,” katanya.
Setiausaha agung DAP itu berkata, jika BN mengambil alih Pulau Pinang, keadaan akan menjadi lebih teruk.
“Tengoklah sistem perkhidmatan feri. Ia jadi lebih teruk dalam 10 tahun. Siapa yang bertanggungjawab? BN lah.
“Bukan macam kerajaan PH. Dalam 10 tahun, kita dah jadikan Pulau Pinang negeri yang bersih,” kata Lim.
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut berkata yang PRU14 kelak akan menjadi lebih susah berbanding sebelum ini selain juga memberi amaran kepada penyokong supaya tidak memperlekehkan BN.
Beliau menekankan yang kepercayaan ramai bahawa Pulau Pinang itu selamat di bawah PH dan bagaimana Teng dinamakan sebagai calon ketua menteri oleh BN.
“Sentimen (di sebelah BN) sudah sangat berubah daripada kepercayaan yang PH akan menang dengan selamat.
“Adakah mereka tahu sesuatu yang kita tak tahu?” katanya ketika berucap di majlis itu.
Chow berkata, dengan siapnya laporan persempadanan semula SPR yang akan dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat, perjuangan pembangkang akan bertambah sukar.
Namun beliau berkata dengan gabungan yang mantap kali ini, pembangkang mungkin juga akan mendapat kelebihan.
PH terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Sementara itu, Lim yang juga timbalan presiden PH turut memberi amaran kepada penyokong bahawa BN mungkin akan menggunakan isu perkauman bagi mengalih perhatian rakyat dari masalah sebenar seperti kenaikan kos sara hidup selain GST yang memberi kesan besar buat rakyat Malaysia, tidak kira bangsa.
Katanya, penipuan dan fitnah akan diputar berulang kali bagi merosakkan nama kerajaan Pulau Pinang.
“Inilah pembohongan yang akan mereka laungkan kepada rakyat di luar Pulau Pinang supaya membenci DAP. Mereka akan menimbulkan kebencian terhadap bukan Islam supaya mendapat sokongan Melayu.
“Mereka akan main sentimen ini untuk menutup pekung mereka sendiri.
“Malah di Kelantan pun, kita sudah dengar yang penyokong PAS kata GST itu bagus,” kata Lim sambil menyeru orang ramai supaya tidak mudah tertipu.
Beliau mengulang kembali manifesto PH iaitu akan menghapuskan GST bila mengambil alih Putrajaya kelak. – 11 Mac, 2018.
Komen