4 mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu program Penjana Kerjaya


EMPAT individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan RM208,400.

Keempat-empat tertuduh itu ialah Mohamad Firdaus Fauzi, 28, Muhammad Ammar Roslan, 31, Muhammad Danish Fauzi, 22, dan Lajis Majid, 64,

Mohamad Firdaus berdepan tiga pertuduhan dengan dua pertuduhan membabitkan pemberian dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan FF Kudrat Enterprise bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso berjumlah RM30,500 dan RM26,400.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohamad Firdaus mengemukakan tuntutan itu atas nama Perusahaan Hijrah Legacy Enterprise, menuntut insentif berjumlah RM36,900.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Persekutuan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 26 Februari, 17 Mei dan 4 Jun 2021.

Muhammad Ammar pula mengemukakan tuntutan atas nama Perusahaan Ammarsaniah Enterpise melibatkan RM48,700 pada 20 Mei 2021 manakala Muhammad Danish mengemukakan tuntutan sebanyak RM36,400 atas nama Perusahaan Dniez Enterprise pada 3 Jun 2021, sementara Lajis mengemukakan tuntutan sebanyak RM55,900 atas nama syarikat LBM Niaga Enterprise pada 8 Mei 2021 di tempat sama.

Keempat-empat mereka dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah jika ia dapat dinilai atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Mohamad Firdaus dan RM15,000 bagi pertuduhan ketiga terhadapnya.

Irwan Shah juga menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada Muhammad Ammar, RM10,000 kepada Muhammad Danish dan RM25,000 kepada Lajis.

Beliau turut mengemukakan syarat tambahan iaitu setiap tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah jika ada dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM Melaka sekali sebulan.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Mohamad Firdaus dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga terhadap tertuduh.

Beliau juga membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Muhammad Ammar, RM8,000 terhadap Muhammad Danish dan RM20,000 kepada Lajis dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon Timbalan Pendakwa Raya.

Muhammad Ammar diwakili peguam Hafizah Sani manakala tiga yang lain tidak diwakili peguam dan kes akan disebut semula pada 23 Februari depan. – Bernama, 19 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen