Shafee bantah hakim Mahkamah Rayuan anggotai panel dengar semakan Najib


Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa panel yang mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman penjara Najib Razak hendaklah hanya terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari 2023.

PEMBABITAN Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais sebagai sebahagian daripada panel yang bersidang hari ini bagi mendengar permohonan Najib Razak menyemak semula sabitan dan hukuman penjara bekas perdana menteri itu dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd dibantah peguamnya Muhammad Shafee Razak.

Shafee yang mengetuai pasukan pembelaan Najib ketika mengemukakan bantahan berhujah bahawa panel hendaklah hanya terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, merujuk kepada Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau juga mencadangkan supaya panel tiga hakim bersidang untuk mendengar permohonan semakan seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut.

Hujah Shafee itu dibalas Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, yang berkata penyertaan Hakim Abu Bakar dalam panel Mahkamah Persekutuan dibenarkan mengikut peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu katanya membenarkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapatkan hakim Mahkamah Rayuan untuk menyertai panel Mahkamah Persekutuan selepas menimbangkan kepentingan keadilan.

Mahkamah Persekutuan hari ini bersidang untuk mendengar permohonan Najib menyemak semula keputusan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim itu diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli. Turut bersidang adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Kiat, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar. – 19 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen