TEMPOH selepas bulan Mei 2023 adalah masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri yang masih mempunyai mandat daripada pilihan raya 2018, kata bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar.
Katanya, pilihan raya selepas Mei sesuai kerana tidak terlalu rapat dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pertengahan November lepas.
Pilihan raya selepas bulan Mei juga akan membolehkan SPR menguruskan pilihan raya di enam negeri berkenaan dengan lebih selesa dan lancar, selain mengambil kira faktor pengundi beragama Islam yang akan menunaikan ibadat haji pada hujung Jun, tambahnya.
“Memang dari awal lagi saya kata, tarikh sesuai nak buat pilihan raya negeri (PRN) ialah pada selepas Mei.
“Kalau kata Ogos atau September, itu pun wajarlah… lagi pun sudah lepas musim umat Islam pergi haji,” katanya.
Lebih 31,000 jemaah Malaysia dijadual mengerjakan wukuf pada 27 Jun, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Tabung Haji.
Kumpulan pertama jemaah haji yang menggunakan penerbangan haji kendalian Tabung Haji (TH) dijadual berlepas pada 21 Mei sementara kumpulan terakhir dijadual pulang ke Malaysia pada 2 Ogos.
Jelas Wan Ahmad, pilihan raya di enam negeri – Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Negeri Sembilan – tidak wajar diadakan sebelum Mei untuk memberi ruang dan masa kepada SPR membuat persiapan semula.
Berdasarkan pengalamannya, SPR belum tentu boleh mendapatkan khidmat pegawai dan sukarelawan pilihan raya sama yang bertugas pada PRU15 lalu.
“Mereka ini mungkin sudah bertukar tempat bertugas. Jadi, selalunya SPR perlu latih semula petugas yang baharu,” katanya.
Beliau mengingatkan pasukan petugas pilihan raya ini mustahak bagi memastikan semua pihak yang terlibat dapat merasakan pilihan raya itu dikendalikan dengan adil dan tiada cacat cela.
“Jadi tidak mudah kepada SPR jika dibuat (pilihan raya negeri) terlalu dekat dengan tarikh PRU15,” katanya.
Enam negeri yang belum mengadakan pilihan raya ini mempunyai mandat berakhir umumnya sekitar hujung Jun dan awal Julai.
Kecuali DUN Pulau Pinang yang berakhir 1 Ogos, mandat DUN di lima negeri lain berakhir antara 25 Jun dan 3 Julai, menjadikan tempoh 60 hari pilihan raya perlu diadakan bagi lima negeri itu sebelum awal September.
Dalam pada itu, Wan Ahmad berharap kesemua enam pilihan raya negeri itu dapat dijalankan serentak untuk memudahkan pengurusan serta menjimatkan kos.
Jelasnya, tiada masalah sekiranya keenam-enam negeri tidak membubarkan DUN serentak kerana pada akhirnya yang menetapkan tarikh pilihan raya ialah SPR.
“Mereka boleh bubar bila-bila masa, tak ada masalah, sebab dalam politik susah nak cari kesepakatan.
“Tetapi SPR boleh menentukan pilihan raya serentak sebab mereka yang menentukan penamaan calon dan hari mengundi dalam tempoh 60 hari,” katanya.
Awal minggu ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Amiruddin Harun berkata tiga negeri bawah Pakatan Harapan termasuk Selangor dan Pulau Pinang mungkin akan mengadakan pilihan raya pada Mei atau Jun.
Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor pula membayangkan pilihan raya negeri akan diadakan pada Mac atau Ogos.
Penganalisis politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat PAS dan Perikatan Nasional (PN) amnya tidak rugi jika mengadakan pilihan raya negeri pada Ogos.
Beliau melihat sokongan pengundi kepada PN masih kuat walaupun mungkin sokongan itu tidak sekuat semasa PRU15.
Mazlan menjangkakan PAS akan kekal di Kelantan, negeri yang dikuasainya sejak 1990, tetapi 50-50 di Kedah dan Terengganu.
“Ada faktor seperti prestasi kerajaan baharu diketuai Anwar Ibrahim… rakyat tengok prestasi perdana menteri okay, tidak nampak sangat kelemahan. Ini ditambah juga faktor Umno sekarang bersama PH,” katanya.
Sementara itu, ketua penyelidik Ilham Centre Mohd Yusri Ibrahim berpendapat tiada bezanya jika pilihan raya negeri ini disegerakan atau dilewatkan sehingga tamat penggal.
Beliau melihat landskap politik Malaysia yang sangat dinamik, terutamanya seperti yang ditunjukkan pada PRU15.
Malah beliau percaya PAS lebih untung sekiranya terus mentadbir sehingga habis mandat.
“Lagipun negeri yang diperintah oleh PAS tiada isu besar berkaitan kestabilan kerajaan, jadi tiada isu berbangkit jika ingin dilanjutkan sehingga tamat penggal.
“Rakyat pun baru keluar mengundi untuk PRU15 November lalu… bagus untuk jarakkan sedikit tempoh tersebut untuk pilihan raya negeri, supaya mood pengundi timbul kembali,” katanya.
Malaysia mengundi pilihan raya Parlimen pada 19 November, serentak dengan tiga negeri iaitu Perlis, Perak, dan Pahang.
Empat negeri lain iaitu Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak sudah mengadakan pilihan raya sebelum ini pada 2020 dan awal 2021. – 19 Januari, 2023.
Komen