TINDAKAN tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati cuai atau mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan prosedur kewangan, kata Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.
Kementerian itu berkata ia tidak akan berkompromi dalam perkara membabitkan pengurusan sekolah, terutama perkara berkaitan kewangan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa pun yang gagal mematuhi arahan diberikan,” kata KPM dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan seorang guru besar didapati memegang RM109,000 yang sepatutnya milik sekolah. Pencuri didakwa pecah masuk ke kereta guru besar terbabit dan melarikan wang tunai berkenaan yang berada di dalam beg dan diletakkan di tempat duduk penumpang bahagian depan, ketika guru besar terbabit berhenti minum di restoran berhampiran di Semenyih.
Guru besar terbabit mengeluarkan wang tunai berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih.
Mengulas mengenai perkara itu, kementerian berkata berlaku pelanggaran SOP dlaam kejadian itu.
Ia berkata kementerian menetapkan syarat pengeluaran wang tunai melebihi RM10,000 bagi bantuan kewangan sekolah perlu dilakukan bersama pengiring.
“KPM, menerusi surat pindaan kepada Pekeliling Kewangan Nombor 20 tahun 2020: Bantuan Awal Persekolah, bertarikh 29 Disember, 2022 mengingatkan semua pengurus sekolah berkaitan pematuhan Prosedur Pengurusan dan Perakaunan Bantuan Kewangan Sekolah yang dikuatkuasakan.
“Garis Panduan untuk Bantuan Awal Persekolahan juga menetapkan prosedur untuk sekolah mengeluarkan wang tunai dari bank. Bagi jumlah melebihi RM10,000, ia perlu dilakukan dalam keadaan selamat, dengan pengiring polis,” katanya.
Kementerian berkata pihaknya memandang serius insiden itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam membantu siasatan kes itu. – 18 Januari, 2023.
Komen