Tangguh lapangan terbang Kulim, besarkan lapangan terbang Pulau Pinang 


KERAJAAN perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim diminta untuk menangguhkan projek Kulim International Airport (KXP) yang tidak diperlukan ketika ini. 

Jika ia diteruskan, projek bernilai hampir RM7 bilion ini hanya akan menjadi projek gajah putih. 

Sebaliknya, projek pembesaran Lapangan Antarabangsa Terbang Pulau Pinang perlu diluluskan segera oleh kerajaan Persekutuan.

Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang adalah lebih relevan kerana kosnya yang lebih rendah, serta lokasinya strategik memandangkan ia dekat dengan pelabuhan antarabangsa Pulau Pinang serta hab perindustrian Batu Kawan dan Bayan Lepas. 

Lapangan Terbang  Antarabangsa Pulau Pinang mengalami masalah “overcapacity” yang teruk, di mana ia menerima lebih 8 juta penumpang setahun walaupun kapasitinya hanya sesuai untuk 6.5 juta penumpang. 

Justeru, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ini harus diutamakan daripada KXP.

Hakikatnya, projek KXP yang diterajui oleh kerajaan negeri Kedah mengalami pelbagai isu dan kontroversi sejak ia diumumkan. 

Projek KXP masih tertangguh akibat masih tiada syarikat baharu dilantik bagi membangunkan projek mega ini setelah ECK Development Sdn Bhd menarik diri. 

Di samping itu, projek KXP ini juga dikhuatiri mempunyai kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. 

Tapak lapangan terbang ini terlalu dekat dengan Sungai Muda, dan projek bersaiz mega seperti KXP boleh  mengganggu kelestarian Sungai Muda yang menjadi sumber air kepada lebih 4 juta penduduk di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

Sungguhpun projek KXP ini dijangka dibiayai melalui konsep inisiatif kewangan swasta atau PFI (private finance initiative), namun tidak munasabah untuk meluluskan sebuah projek gajah putih yang terpalit dengan pelbagai isu sejak permulaannya. 

Saya berharap kerajaan Persekutuan dapat melihat kepentingan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan meluluskan segera projek ini yang tertangguh lama. 

Mungkin projek KXP boleh diteruskan pada masa hadapan, namun sekarang bukan masa yang sesuai. 

Dalam memulihkan ekonomi negara, kerajaan digesa melihat kepada projek yang lebih prioriti. – 18 Januari 2023. 

* Faiz Fadzil, ahli Jawatankuasa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen