Suku Jahut terus pertahan tradisi yang semakin pupus


Melati A. Jalil

Deretan kanak-kanak lelaki suku kaum Jahut berpakaian tradisional dibawa melawat kubur nenek moyang mereka untuk memberi penghormatan sebelum meneruskan upacara berkhatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Jun, 2017.

TERBARING di atas tikar mengkuang yang dijalin dengan kain sarung berwarna-warni, 10 kanak-kanak lelaki suku Jahut menunggu hujung minggu lalu dengan tidak sabar bagi majlis berkhatan dimulakan, menjadi langkah pertama mereka menuju ke alam dewasa.

Majlis khatan beramai-ramai yang jarang berlaku itu adalah kemuncak “Kerjak-Mengerjak”, acara dua hari penuh ritual yang merapatkan hubungan di kalangan penduduk Kampung Paya Mengkuang.

Kanak-kanak lelaki berumur 10 hingga 13 tahun, dipakaikan baju dan dilayan seperti kerabat diraja, dengan solekan dan pakaian tradisional; baju Melayu bersama tanjak, selimpang bersilang di bahu berhias dan keris tersisip di belakang pinggang.

Mereka diwajibkan mengambil bahagian dalam pelbagai ritual, seperti melakukan persembahan korban ayam sebelum berkhatan, yang kini semakin jarang berlaku dalam masyarakat miskin ekoran kenaikan kos.

Setiap keluarga yang memilih menyertai majlis terbesar dalam masyarakat Jahut ini perlu membayar kira-kira RM1,600 bagi menampung perbelanjaan pelbagai ritual seperti persembahan korban ayam, tarian ritual di mana muzik tanpa henti dimainkan dengan instrumen tradisional sepanjang malam.


Mereka berpakaian tradisional lengkap yang berwarna-warni dan bersolek serta dilayan seperti kerabat diraja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Jun, 2017.

Juga termasuk kos pengangkutan untuk membawa kanak-kanak lelaki ke kubur nenek moyang mereka untuk memberikan penghormatan. 

Beberapa kubur terletak sejauh 50km dari kampung iaitu di Temerloh, Pahang. Rumah yang ada di kampung itu hanya sekitar 102 keluarga, dengan lebih 500 orang mendiaminya di sana.

Man, 55, yang cucunya turut mengambil bahagian dalam majlis tersebut berkata yuran majlis itu tidak tetap, bergantung kepada bilangan peserta.

“Saya sudah melaluinya, begitu juga anak saya. Jadi, adalah penting untuk cucu saya menjalani tradisi ini,” katanya kepada The Malaysian Insight dan menekankan kepentingan memelihara tradisi turun temurun.

Majlis dimulakan dengan doa kepada nenek moyang yang diketuai Penghulu Balai, bagi mendapatkan restu dan perlindungan agar acara dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan.

Kemudian, semua upacara dipimpin individu bertanggungjawab yang dipanggil “Bapak”.

Kebanyakan ritual, termasuk berkhatan diadakan di kediaman tuan rumah, yang juga terlibat dalam acara berkhatan.

Sepanjang majlis itu, kanak-kanak lelaki diberi layanan khas seperti didukung di bahu semasa mengelilingi kubur nenek moyang mereka, tidur dan makan berasingan.

Pada waktu malam, wanita akan memasak bersama-sama bagi memberi makan kepada ratusan yang hadir berpusu-pusu di kediaman kayu tuan rumah. Dan sepanjang malam, rumah itu penuh sesak dengan ahli keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung, berhimpitan memandangkan ruang yang terhad.

Muzik dimainkan sepanjang malam semasa kanak-kanak lelaki mengambil bahagian dalam tarian ritual yang diketuai guru silat.

“Mereka perlu menari seperti burung, mereka perlu hampir dengan guru silat semasa menari kerana orang ramai menjadi semakin liar adalah untuk membuatkan anak-anak itu teruja,” kata Hamadan Akau, menjelaskan mengapa orang ramai bertindak balas dengan penuh bersemangat setiap kali kanak-kanak lelaki itu menari.

Kanak-kanak lelaki berkain sarung sambil berbaring di atas tikar penuh sabar menunggu giliran untuk berkhatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Jun, 2017.

Pada pagi hari kedua, semua kanak-kanak lelaki  dibawa ke sungai berdekatan, di mana mereka perlu berendam selama beberapa jam sebelum dikhatankan. Setiap kanak-kanak lelaki juga menerima tempurung diisi dengan tanah liat, yang akan digunakan semasa majlis berkhatan.

Hamadan yang juga eksekutif di Sols24, NGOHub, berkata daripada 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia, hanya tiga suku kaum sahaja yang mempunyai amalan berkhatan.

“Tetapi dua suku lain itu tidak mempunyai majlis seperti ini, hanya Jahut sahaja ada tradisi seperti ini,” katanya.

Beliau berkata generasi baru Jahut perlu mempelajari dan meneruskan tradisi, kerana ia merupakan identiti unik komuniti mereka.

“Saya suku Jahut dan amat berbangga untuk menunjukkan kepada rakyat di Malaysia atau dunia yang suku Jahut adalah unik, berbeza daripada orang lain. Kami mempunyai cara hidup sendiri.

“Saya berharap dalam masa 10 hingga 20 tahun, budaya ini masih hidup, supaya orang dapat mengenali identiti sebenar Jahut,” katanya dan menggesa Jabatan Kemajuan Asri Asli (Jakoa) perlu membuat lawatan berkala untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keunikan setiap suku. – 3 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen