PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe mengetuai upacara suram pada Ahad memperingati ulang tahun ketujuh kejadian gempa bumi, bencana tsunami dan nuklear yang menghancurkan pantai timur laut dan menyebabkan kira-kira 18,500 orang mati atau hilang.
Gempa dengan kekuatan 9.0 skala Ritcher - yang melanda Lautan Pasifik pada 11 Mac 2011 - dan tsunami yang mengakibatkan kerosakan besar dan mengorbankan ribuan nyawa.
Tsunami juga membanjiri bekalan kuasa kecemasan di loji janakuasa Fukushima Daiichi, mengakibatkan krisis pada reaktornya kerana sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetus bencana nuklear terburuk sejak Chernobyl pada 1986.
Abe, anggota Parlimen dan ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam bencana itu menundukkan kepala, bertafakur dan berdoa pada upacara yang berlangsung di Tokyo pada jam 2.46 petang (0546 GMT) - bertepatan dengan detik ketika kejadian gempa melanda.
Stesen televisyen swasta Jepun juga menunjukkan penduduk di kawasan yang terjejas turut bertafakur.
“Saya menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan kawan-kawan yang disayangi,” kata Abe yang muncul dengan memakai pakaian berkabung rasmi.
Hideko Igarashi, seorang daripada tiga penduduk dari wilayah yang dilanda bencana berucap pada majlis itu, berkata Jepun mesti “tidak pernah melupakan apa yang kita pelajari daripada bencana itu”.
Wanita berusia 70 tahun dari Fukushima itu dibawa gelombang tsunami sejurus selepas dia bersiap untuk meninggalkan kawasan itu bersama suami dan pakciknya.
“Saya berpaut pada pokok pain tetapi saya dibawa arus tsunami ... Suami saya dibawa arus dan dia sempat menjerit ‘Hideko’ tiga kali,” katanya.
Igarashi terselamat dan kemudian diselamatkan oleh pasukan kecemasan.
“Saya harap saya memberitahunya agar menyelamatkan dirilebih awal.”

Maharaja Jepun Akihito dan Permaisuri Michiko tidak menghadiri majlis tahun ini, tetapi mewakili anaknya, Putera Akishino dan isterinya, Puteri Kiko.
Jumlah yang mati atau hilang akibat gempa bumi dan tsunami berjumlah 18,434 orang, menurut Agensi Polis Negara.
Di samping itu, lebih 3,600 orang - kebanyakan daripada mereka dari Fukushima - meninggal dunia akibat penyakit dan bunuh diri yang dikaitkan dengan tragedi itu, menurut data kerajaan.
Lebih 73,000 orang masih belum tiada tempat tinggal, sementara tiada angka rasmi direkodkan menunjukkan seseorang itu mati disebabkan kesan langsung daripada bencana nuklear.
Kerajaan membatalkan perintah pemindahan beberapa kawasan di kampung dan bandar Namie, Kawamata dan Tomioka pada musim bunga lepas, kecuali zon dilarang masuk disebabkan kadar radiasi yang tinggi.
Pihak berkuasa menggalakkan penduduknya kembali, tetapi tinjauan kerajaan yang dikeluarkan awal bulan ini menunjukkan kira-kira setengah penduduk Namie dan Tomioka tidak bersedia untuk kembali.
Sekitar 12,000 orang yang melarikan diri dari rumah kerana bimbang dengan pencemaran radiasi memfailkan saman terhadap kerajaan dan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), pengendali loji nuklear yang terjejas. – AFP, 11 Mac, 2018.
Komen