Pakatan dan BN perlu sepakat hadapi cabaran Perikatan di Selangor, kata pakar


Ravin Palanisamy

Profesor Pengajian Asia dari Universiti Tasmania James Chin berkata PH dan BN akan rugi jika tidak sehaluan dalam PRN Selangor nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mencapai persefahaman mantap tentang peruntukan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor jika berhasrat melemahkan pembangkang, kata pakar politik.

Jika gagal bersepakat, Perikatan Nasional (PN) akan memperoleh kelebihan di Selangor, kata mereka, merujuk kepada beberapa pertembungan sengit di negeri itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

James Chin, Profesor Pengajian Asia dari Universiti Tasmania berkata PH dan BN akan rugi jika tidak sehaluan dalam PRN Selangor nanti.

“Nampaknya BN dan PH akan mencapai kesepakatan di Selangor.

“Kedua-dua gabungan itu nampaknya tidak akan bertembung antara satu sama lain kerana mereka sedar sebarang perpecahan antara mereka akan beri kelebihan buat PN.

“Kedua-dua mereka akan rugi jika tidak bersatu,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Minggu lepas, Pengarah Mobilisasi Parti Amanah Negara Mohd Sany Hamzan dilaporkan berkata PH akan mempertahankan kesemua 40 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU 2018 walaupun PH dan BN bersama dalam kerajaan Persekutuan ketika ini.

Setakat ini, katanya, beliau difahamkan PH tidak akan beri laluan kepada BN di kawasan yang dimenanginya pada 2018.

Chin berkata mungkin ada perselisihan faham sekarang tetapi beliau yakin ianya akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan.

“Percanggahan pendapat yang ada sekarang cuma kata pembuka, semacam kenyataan untuk berunding.

“Tetapi saya tidak ragu-ragu yang mereka akan capai persetujuan untuk PRN,” katanya.

Chin juga berkata jika PN menunjukkan prestasi bagus di Selangor, ia akan mengesahkan lagi kemaraan “gelombang hijau” atau dalam kata lain, pengundi telah beralih kepada haluan kanan gabungan Islamis seperti yang terjadi pada PRU15.

“Jika PN bagus di Selangor, ini bermakna kejayaan PN/PAS, pada PRU15 lepas akan disahkan dalam PRN akan datang,” katanya.

PH telah menguasai Selangor pada 2008 dan sejak itu BN tidak berjaya merampas kembali negeri itu.

Secara keseluruhan, Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada PRU 2018, PH menang majoriti besar 51 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri sehingga tiga penggal. Pembangkang BN menang empat kerusi manakala PAS cuma peroleh satu kerusi.

51 kerusi PH itu kemudiannya berkurang menjadi 40, selepas kalah dalam pilihan raya kecil Semenyih selain Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan beberapa ahli politik berpaling tadah kepada parti lain.

Yang menang patut pertahankan kerusi

Bagaimanapun Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai pandangan berbeza. Katanya rundingan kerusi antara PH dan BN akan menjadi sukar.

Ini kerana parti yang menang kerusi itu pada pilihan raya lepas mahu mempertahankannya.

“Pada PRU lepas, PH menang 51 kerusi, BN menang empat dan PAS satu.

“Biasanya, parti-parti yang menang mahu pertahankan kerusi mereka,” katanya.

Tunku Mohar percaya jika rundingan itu menemui jalan buntu, BN berkemungkinan akan bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi calon Bersatu.

Dengan cara itu, beliau berkata BN cuma ada 11 kerusi untuk bertanding pada PRN Selangor.

“Jika itulah status quo, BN boleh harapkan 11 (4 kerusi BN, 1 PAS dan 6 Bersatu).

“Kalau BN boleh dapat lebih lagi, ia adalah kerana ihsan PH,” katanya.

Tunku Mohar bagaimanapun menegaskan strategi terbaik ialah memastikan parti penyandang mempertahankan kerusi mereka.

“Formula terbaik ialah memastikan parti yang menang mempertahankan kerusi mereka, manakala PH tolong BN di kerusi lain.

“Ini akan jadi langkah paling tidak kontroversi untuk diambil,” katanya.

Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – memutuskan untuk tidak membubarkan DUN pada PRU15 lepas.

Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan PRN serentak dengan PRU15. Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak telah pun mengadakan PRN sebelum PRU15.

Enam negeri itu perlu mengadakan pilihan raya sekurang-kurangnya sebelum September depan. – 18 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen