GERAN RM40 juta kerajaan perpaduan untuk Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dapat membantu ramai pelajar dan keluarga, kata Wee Ka Siong.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tersebut, presiden MCA itu berkata ia akan menjadi kunci untuk menyediakan pendidikan berkualiti buat rakyat Malaysia.
“Ketika saya pertama kali bertemu Anwar pada Disember lalu, iaitu tidak lama selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri, beliau bertekad meluluskan peruntukan ini bagi menyokong TAR UMT dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam satu kenyataan hari ini.
TAR UMT sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti TAR (TAR UC) yang ditubuhkan pada 1969.
Wee dalam masa sama turut menzahirkan rasa terima kasihnya kepada Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang kini menteri pengangkutan, kerana berkongsi berita itu semasa lawatannya ke TAR UMT hari ini.
“Angpow Tahun Baru Cina yang amat bermakna kepada TAR UMT,” katanya.
Wee berharap komitmen kerajaan perpaduan untuk menyalurkan dana kepada TAR UMT akan menamatkan kontroversi mengenai peruntukan untuk universiti.
“Marilah kita meneruskan tumpuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan mampu milik kepada generasi muda dan melatih lebih ramai bakat untuk negara kita,” katanya.
Peruntukan tersebut sekali gus menamatkan kontroversi kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini apabila menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menyalurkan dana RM60 juta jika MCA melepaskan pemilikannya ke atas universiti itu.
Sejurus itu perang mulut antara Wee dan Lim tercetus sebelum kerajaan meluluskan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM30 juta untuk dana amanah tersebut.
Lim berkata, dana itu akan diuruskan oleh Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman.
Antara lain yang turut hadir pada majlis itu termasuk Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim dan Pengerusi Lembaga Gabenor TAR UMT Liow Tiong Lai serta dan Pengerusi Majlis Alumni TAR UMT Chan Kong Choy. – 17 Januari, 2023.
Komen