SIKAP rakyat terhadap keselamatan jalan raya sama sekali berbeza dengan ketakutan terhadap Covid-19, kata menteri pengangkutan.
Anthony Loke berkata beliau bimbang dengan sikap sebegitu kerana kematian di jalan raya sebenarnya lebih tinggi berbanding kematian akibat Covid.
“Ini sesuatu yang amat membimbangkan kita.
“Kesedaran atau kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan jalan raya ini tidaklah sebesar kebimbangan mereka terhadap Covid,” katanya pada majlis pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 di Dengkil hari ini.
Rakyat Malaysia, tidak kira bangsa atau agama, dijangka memenuhi lebuh raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina nanti, sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti.
Sambil menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian dan kemalangan jalan raya, Loke berkata pendekatan holistik untuk meningkatkan keselamatan jalan raya penting agar jalan raya lebih selamat buat semua orang.
“Ramai orang memaklumkan kepada saya kempen kita mesti mengambil kira bagaimana kita boleh berikan lebih kesedaran yang ancaman kemalangan jalan raya ini lebih besar berbanding Covid-19,” katanya.
Beliau berkata walaupun kempen kesedaran Covid-19 berjaya dengan orang ramai setiap hari dihujani jumlah jangkitan dan kematian dalam tempoh tiga tahun lalu, kematian di jalan raya sebenarnya jauh “lebih besar”.
Menurut statistik, sehingga Ogos 2021, 70 daripada 100 kematian di jalan raya melibatkan pengguna motosikal. – Bernama, 17 Januari, 2023.
Komen