Pemain tenis Itali nafi guna sijil vaksinasi palsu untuk bertanding


Media Itali melaporkan bulan lalu seorang doktor, Daniela Grillone, menamakan Camila Giorgi sebagai antara individu yang mendapatkan dokumen palsu vaksinasi. – Gambar Facebook, 17 Januari, 2023.

PEMAIN Itali, Camila Giorgi menafikan beliau menggunakan sijil vaksinasi Covid-19 palsu untuk bertanding dalam kejohanan tenis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Media Itali melaporkan bulan lalu seorang doktor, Daniela Grillone, menamakan Giorgi sebagai antara individu yang mendapatkan dokumen palsu.

Bercakap buat kali pertama mengenai dakwaan itu selepas kemenangan 6-0, 6-1 ke atas Anastasia Pavlyuchenkova pada pusingan pembukaan Terbuka Australia, Giorgi menegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Doktor itu disiasat dan dia berdepan tindakan undang-undang beberapa kali.

“Saya mendapatkan suntikan vaksinasi di tempat yang berbeza. Jadi saya tiada masalah dengan itu.

“Dia (menyenaraikan) nama saya, sudah tentu, tetapi terdapat lebih daripada 300 orang dalam senarai berkenaan,” kata pemain berusia 31 tahun itu.

Beberapa negara mewajibkan pemain untuk memberikan bukti vaksinasi sebelum menyertai kejohanan tenis pada 2021 dan 2022, termasuk Australia dan Amerika Syarikat.

Giorgi mengakui menerima suntikan vaksin daripada Grillone dan menggunakan dokumen yang disediakan oleh doktor itu.

Tetapi beliau menafikan dakwaan memperoleh dokumen palsu sambil berkata: “Tidak, tidak sama sekali.” – Bernama, 17 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen