Umno: Menang bertempur, kalah berperang


Ruhan Shahrir

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) yang baru berlalu mencerminkan betapa parti terbesar orang Melayu itu sedang berhadapan dengan suatu krisis yang cukup rumit. Krisis itu bukan hanya melibatkan kepimpinan semata-mata tetapi juga permasalahan struktur dan budaya yang terkandung dalam tubuh Umno sebagai sebuah organisasi politik.

Justeru, sesudah PAU melabuhkan tirainya, yang tersimpul secara jelas pada hemat saya adalah di satu sisi, dua sosok kepimpinan tertinggi Umno, yakni Presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hassan (Tok Mat) telah berjaya memperkukuhkan kedudukan mereka dan menutup sebarang cubaan untuk mencabar kedudukan tersebut.

Di sisi lain pula suara-suara yang sebelum ini kelihatan seolah-olah akan mengajukan pembaharuan dan penyegaran semula Umno ternyata tidak punya keberanian, kekuatan dan ketekalan politik untuk menzahirkan hasrat mereka itu.

Malah kesimpulan di atas mengundang satu pertanyaan yang saya kira munasabah untuk diajukan: apakah ia menandakan bahawa Umno pada perhimpunan agungnya itu sebetulnya telah menang bertempur tapi akan kalah berperang?

Bertempur di sini mewakili pergelutan kepimpinan dalaman Umno yang akhirnya dimenangi kepimpinan sedia ada apabila persidangan memutuskan untuk tidak mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno di pemilihan parti yang akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada pembukaan Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di ibu negara baru-baru ini..  – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2023.

Manakala berperang pula mewakili suatu pertarungan yang bakal dihadapi oleh Umno di pilihan raya negeri yang bakal diadakan tak lama lagi di enam negeri – Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu – yang keputusannya sukar untuk dijangkakan, dan berkemungkinan pula Umno akan kalah sekali lagi.

Pada satu sisi, dengan mengelakkan pertandingan dua jawatan tertinggi Umno, sedikit sebanyak ia membantu Umno untuk mengekalkan kesepaduan parti buat sementara waktu daripada mengalami perpecahan dalaman yang lebih serius.

Keputusan yang dibuat oleh majoriti perwakilan itu sekali imbas seakan-akan wajar apabila mengambil kira:

Pertamanya, pertimbangan bahawa terdapat kumpulan-kumpulan dalam Umno yang tidak senang dengan kerjasama yang dilakukan dengan Pakatan Harapan untuk membentuk “kerajaan perpaduan” yang di dalamnya ada musuh tradisi Umno yang sering dijadikan sasaran serangan, cemuhan dan belasahan sejak puluhan tahun, yakni DAP.

Jika pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu dibenarkan, kumpulan-kumpulan yang menentang kerjasama itu berpotensi melakukan konsolidasi dan seterusnya menggugat kestabilan serta memecahkan Umno dengan lebih parah lagi.

Sebahagian daripada anggota sayap Pemuda Umno yang hadir pada Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-baru ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Januari, 2023.

Keduanya, pertimbangan bahawa PRN di enam negeri yang akan berlangsung kemungkinannya kurang dari enam bulan lagi, memerlukan kesatuan dalaman Umno yang kukuh dan stabil. Sebarang pertandingan ke atas dua jawatan tertinggi itu, diandaikan akan menyulit dan merumitkan lagi usaha untuk menguatkan kembali Umno bagi menghadapi PRN tersebut.

Ketiganya, pertimbangan bahawa diandaikan ada anasir-anasir, baik di dalam, mahu pun di luar Umno khususnya yang akan menangguk di air keruh jika sekiranya pertandingan dua jawatan tersebut diteruskan.

Dari ucapan Presiden dan Timbalan Presiden di PAU, tidak salah jika dikatakan pihak-pihak yang diandai akan menangguk di air keruh itu ialah anggota kepimpinan Umno sendiri yang didakwa bersekongkol dengan Perikatan Nasional (anasir dalaman) dan parti yang menjadi saingan utama Umno, yakni Parti Bersatu dan PAS (anasir luaran).

Pertimbangan-pertimbangan ini pada hemat saya wajar sahaja dalam konteks Umno yang memerlukan suatu kestabilan dan kesepaduan khususnya untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

Dari sisi ini, Umno telah pun menang bertempur walau pun masih terdapat suara-suara sebilangan kecil yang tidak berpuas hati serta dakwaan-dakwaan bahawa proses pemilihan pemidato dan usul untuk dibahaskan serta pengundian sudah pun “disetting” terlebih awal.

Kendati pun, di sisi yang lain, kemungkinan Umno akan kalah berperang di PRN meskipun ia menang bertempur di PAU, tidak juga boleh ditolak sepenuhnya.

Ini pada hemat saya kerana krisis yang melanda Umno dewasa ini bukanlah krisis yang dapat diselesaikan hanya menerusi sekatan pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu.

Malahan agak ironi juga apabila demokrasi digunakan (atau dipergunakan?) untuk menyekat suatu pertandingan dalam persaingan jawatan tertinggi parti yang memerlukan proses demokrasi untuk mendapatkan mandat yang murni daripada akar umbi, khususnya tatkala kepimpinan Presiden parti dipertikaikan, apabila Umno tewas teruk pada PRU15 yang lepas.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, baru-bari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2023.

Tetapi apakah dengan terbukanya pertandingan dua jawatan tertinggi itu akan memastikan kemenangan Umno dalam berperang di PRN15 nanti, tentu juga tidak dapat dipastikan.

Namun pada hemat saya, kekukuhan Umno itu datang dari akar umbinya sendiri. Ini kerana Umno itu sendiri adalah sebuah parti akar umbi sama ada dari sudut sejarahnya, mahu pun struktur.

Justeru, mandat dari akar umbi Umno itu sendiri menjadi sangat penting kerana ia akan menentukan sama ada gerak kerja politik di kawasan-kawasan yang akan ditandingi oleh Umno pada PRN akan datang dapat berjalan dengan baik, tersusun dan berkesan atau pun tidak.

Namun, apabila pertandingan dua jawatan tertinggi Umno itu secara “demokrasinya” dihalang, maka suara ratusan ribu anggota akar umbi yang selama ini menjadi nadi serta jantung kepada Umno turut diketepikan.

Apakah dengan mengetepikan ratusan ribu suara akar umbi dalam pemilihan dua jawatan tertinggi parti, akan menjadikan Umno lebih stabil, kukuh dan sepadu atau sebaliknya, adalah sesuatu yang sepatutnya harus difikirkan dengan lebih mendalam.

Di sini sebetulnya dapat dilihat dengan jelas bahawa sebahagian daripada permasalahan struktural yang terkandung dalam tubuh Umno, melibatkan kuasa Presiden yang terlalu besar.

Kuasa Presiden Umno mampu mempengaruhi perjalanan demokrasi parti khususnya di dalam menempatkan orang-orang yang mendukung beliau di kedudukan strategik parti.

Misalnya Presiden Umno diberikan kuasa sebagai “pemegang amanah” untuk semua 30 kerusi yang dimiliki oleh Umno/BN. Begitu juga kuasa untuk melantik dan memecat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang merupakan jawatan yang pada umumnya cukup berpengaruh dalam menentukan calon-calon Umno untuk PRU dan PRN.

Kuasa melantik Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung Umno turut berada di tangan Presiden parti. Malahan Presiden parti juga mempunyai kuasa akhir untuk mengekalkan atau menggugurkan calon-calon PRU dan PRN.

Justeru, apa natijahnya?

Perhimpunan Agung Umno 2022 memutuskan untuk tidak mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan akan datang.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Januari, 2023.

Seorang Presiden yang terdesak atau tersudut atas sebab-sebab tertentu boleh menggunakan kuasa-kuasa ini untuk terus kekal berkuasa walaupun keberadaannya di tampuk kuasa tertinggi parti sebenarnya boleh menyeret parti sehingga jatuh rebah ke gaung yang terdalam. Manakala buat pendukung serta penyokong pula, ia mengukuhkan lagi salah satu unsur yang sering dihujahkan sebagai “tradisi” Melayu – kesetiaan.

Namun kesetiaan yang dibentuk dalam kerangka struktur sebegini cenderung melahirkan anggota-anggota yang hipokrit. Kepentingan peribadi dalam bentuk kedudukan dan jawatan serta faedah-faedah yang diperolehi bersamanya akan menjadi motivasi utama untuk dipertahankan berbanding mempertahankan kepentingan parti. Akhirnya sokongan yang diberikan itu bak kata pepatah Melayu – sokong membawa rebah.

Yang rebah adalah Umno sebagai sebuah organisasi politik terbesar bangsa Melayu.

Tambahan pula struktur yang sebegini adalah anti-tesis kepada perubahan yang sedang pesat berlangsung menerusi proses individualisasi masyarakat yang cenderung membuatkan ikatan kepatuhan individu terhadap institusi formal masyarakat termasuk parti politik menjadi semakin longgar.

Justeru, tidaklah menghairankan walaupun PAU sudah pun melabuhkan tirainya, pahat masih tetap berbunyi. Sekuat mana bunyi pahat tersebut, belum dapat dipastikan. Namun, sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada perang yang akan dilalui oleh Umno pada PRN yang akan datang.

Daripada struktur sebeginilah yang kemudiannya melahirkan budaya kebergantungan khususnya ekonomi bukan hanya di dalam Umno tetapi juga parti-parti berkepimpinan Melayu lainnya termasuklah PKR, Bersatu dan PAS yang turut mempunyai struktur kurang lebih sama.

Parti politik dilihat sebagai sebahagian daripada wadah untuk meraih kepentingan ekonomi buat diri sendiri, keluarga, kaum kerabat dan penyokong. Cumanya oleh kerana Umno lebih lama memegang kuasa sebagai kerajaan di Malaysia (lebih daripada 60 tahun sebagai parti paling dominan) maka budaya kebergantungan ekonomi menerusi kedudukan politik, lebih tersulam kejap dalam tubuhnya.

Justeru, apabila Timbalan Presiden Umno, Tok Mat membangkitkan persoalan politik wang  dalam ucapan perasmian beliau di Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, yang beliau hujahkan sebagai suatu masalah yang bukan hanya boleh merosakkan parti, tetapi juga telah membuatkan Umno ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu, beliau sebenarnya bercakap mengenai hakikat tanggapan ramai daripada orang Melayu terhadap Umno dewasa ini.

Tanggapan ini bukan hanya sekadar persepsi tetapi dipercayai oleh sebahagian besar daripada masyarakat Melayu khususnya apabila terdapat tokoh-tokoh pemimpin Umno, misalnya bekas Perdana Menteri Najib Razak yang sudah pun dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman penjara.

Zahid sendiri pun masih berhadapan dengan dengan dakwaan 47 tuduhan yang melibatkan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi, yang kesnya masih berjalan sehingga kini.

Mungkin perkara yang tidak disebut oleh Zahid dan Tok Mat berkenaan dengan persoalan kenapa Umno perlu menyertai “kerajaan perpaduan”, ialah akses kepada sumber-sumber ekonomi yang tersedia buat mereka yang menjadi kerajaan.

Pada akhirnya Umno berkemungkinan besar tidak cukup kental dan ulet untuk meneruskan kelangsungannya tanpa akses kepada sumber ekonomi yang boleh diagih-agihkan kepada penyokong dan pendukungnya.

Budaya perselingkuhan antara ekonomi dan politik dalam tubuh Umno takkan selesai hanya dengan kemenangan Umno (baca: kumpulan anti-pertandingan dan pro-status quo) bertempur di PAU, selagi permasalahan struktur dan budaya yang sudah tersulam kejap itu tidak dirungkaikan.

Umno sememangnya menang bertempur di PAU, tetapi apakah ia juga akan memberi jaminan kemenangan ketika mereka berperang di PRN enam negeri nanti – saya cenderung musykil. – 17 Januari, 2023.


*Rencana ini ditulis dengan bantuan Mohd. Azizi Jaeh yang telah memberikan banyak maklumat mengenai struktur kuasa yang dipegang oleh Presiden Umno. 

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen