Kemampuan Tengku Zafrul jadi penyelaras pilihan raya Selangor diragui


Ravin Palanisamy

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diumumkan sebagai penyelaras pilihan raya Selangor semasa PAU minggu lalu. – Gambar Facebook, 16 Januari, 2023.

PELANTIKAN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengetuai Umno pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang dilihat sebagai langkah berisiko bagi presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, kata pakar politik.

Mereka juga berkata ini menunjukkan Zahid tidak mempunyai penyokong yang boleh dipercayai di negeri ini.

Menganggap Tengku Zafrul sebagai “muka baharu” dalam politik, mereka meragui keupayaannya menarik pengundi untuk menyokong parti berasaskan Melayu itu dalam PRN, yang akhirnya boleh membawa kekalahan kepada parti itu.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata pelantikan Tengku Zafrul dipersoalkan memandangkan beliau tidak mempunyai pengaruh kuat di kalangan akar umbi parti.

“Pelantikan Zafrul untuk mengetuai Selangor pada pilihan raya negeri akan datang mungkin menunjukkan Zahid tidak mempunyai orang kuat dipercayai di sana.

“Saya tidak fikir beliau mempunyai sokongan akar umbi yang kuat mahupun mantel kepimpinan yang boleh memberi inspirasi kepada penyokong di negeri ini,” kata Tunku Mohar kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun berkata menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan mungkin membantu peluang Umno dalam PRN.

Beliau berkata Umno boleh menumpang kejayaan PKR di negeri itu, tetapi ini hanya akan berjaya jika mereka membentuk pakatan pilihan raya.

“Memandangkan Selangor adalah kubu kuat PKR, Umno mungkin boleh mendapat manfaat daripada jentera PKR di negeri itu jika ia boleh menjalin pakatan pilihan raya yang kuat di sana,” tambah penolong profesor di Jabatan Sains Politik itu.

Pada pilihan raya sebelum ini, jentera Umno/Barisan Nasional (BN) di Selangor diketuai oleh ahli politik veteran Noh Omar tetapi Zahid menggugurkannya sebagai calon pada pilihan raya umum lalu (PRU15).

Susulan itu, Noh meletak jawatan sebagai ketua Umno Selangor dengan berkata beliau sudah hilang keyakinan terhadap Zahid.

Noh, ahli Parlimen Tanjong Karang enam penggal, digugurkan sebagai calon untuk memberi laluan kepada Ketua Wanita Umno Tanjong Karang Habibah Yusof, yang tewas pada pilihan raya lalu.

Noh Omar digugurkan sebagai calon PRU15 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari 2023.

Tengku Zafrul dikenali apabila dilantik sebagai menteri kewangan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Beliau mengekalkan jawatan itu apabila Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan, berikutan peletakan jawatan Muhyiddin.

Sebelum ini dilaporkan Tengku Zafrul menganggotai Umno sejak 1998. Beliau dilantik sebagai bendahari BN Selangor pada 31 Julai 2022.

Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di Kuala Selangor dan tewas kepada veteran Amanah, Dr Dzulkefli Ahmad dengan majoriti 1,002 undi.

Walaupun kalah, Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

Sabotaj dalaman

Tunku Mohar juga memberi amaran kepada Umno mengenai sabotaj dalaman ketika menghadapi pilihan raya di Selangor, terutama selepas ramai pemimpin yang mengkritik Zahid diketepikan.

“Dalam semua pilihan raya, hulubalang yang tidak berpuas hati akan cuba mensabotaj parti mereka sendiri, dengan keputusan yang berbeza-beza,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Tengku Zafrul tidak mempunyai wajaran sepatutnya untuk membawa harapan Umno dalam pilihan raya negeri.

Beliau juga berkata rekod prestasi Tengku Zafrul tidak begitu memberangsangkan.

“Rekod prestasinya sebelum ini tidak begitu baik. Beliau kalah dalam PRU15 tetapi entah bagaimana berjaya menjadi menteri.

“Sebenarnya Tengku Zafrul bukanlah seorang tokoh besar. Beliau menjadi calon payung terjun di Kuala Selangor untuk bertanding. Beliau daripada ‘golongan kayangan’ (kelas elit),” kata Mazlan.

Kepimpinan Zahid sangat dominan dalam Umno, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata ramai yang tidak akan membantah secara terbuka keputusan Zahid kerana kawalan dimiliki presiden Umno itu dalam parti.

“Kepimpinan Zahid sangat dominan dalam Umno. Sebarang keputusan dibuat pucuk pimpinan, biasanya pemimpin di semua peringkat akan menyokong.

“Jadi, saya tidak fikir beliau akan mempunyai isu dengan perkara itu atau mungkin orang mensabotaj tetapi itu masih boleh berlaku,” katanya.

Di sebalik sokongan Zahid, Mazlan masih meragui kemampuan Tengku Zafrul membawa sokongan kepada parti di negeri itu.

“Persoalannya di sini sama ada Tengku Zafrul mampu mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno.

“Saya fikir ini sangat boleh dipertikaikan,” katanya.

Semasa ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno pada Sabtu, selain mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul, Zahid turut menamakan lima lagi tokoh yang akan menerajui negeri lain yang juga bakal menghadapi pilihan raya.

Mereka ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Naib Presiden Mahdzir Khalid (Kedah), Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin (Terengganu), Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir (Kelantan), dan Azalina Othman Said (Pulau Pinang). – 17 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen