Petisyen pilihan raya: Usah terlalu rumit, segarkan prinsip demokrasi


G Manimaran

KETIKA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lima tahun lalu, dua petisyen pilihan raya telah menarik perhatian. Kedua-duanya melibatkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di kerusi Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan, Tian Chua, yang baru-baru ini dipecat oleh PKR atas sebab bertanding sebagai calon bebas, memfailkan petisyen bagi memohon deklarasi bahawa beliau seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun 2019, mahkamah tinggi memutuskan beliau tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Dalam kes kedua, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram, juga dari PKR, yang gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon, memfailkan petisyen telah dihalang daripada memasuki pusat penamaan calon.

Satu lagi keputusan yang dipertikaikan pada PRU14 ialah Cameron Highlands dan Kimanis.

Kes-kes itu merupakan sebahagian daripada 24 petisyen yang difaikan pada PRU lepas. Jumlah petisyen paling banyak direkodkan semasa PRU13 iaitu 57 kes.

PRU pertama pada tahun 1959 menyaksikan hanya dua petisyen, 1964 (11), 1969 (10), 1974 (dua), 1978 (23), 1982 (tujuh), 1986 (lapan), 1990 (14), 1995 (23), 1999 (23), 2004 (43) dan  2008 (29).

Pertikaian membabitkan Rantau, Cameron Highlands dan Kimanis membawa kepada pilihan raya kecil.

Salah satu aspek yang menarik dalam proses pilihan raya, sama ada umum ataupun pilihan raya kecil, ialah petisyen. Petisyen pilihan raya perlu dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tiga hari lalu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil mengesahkan Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen untuk mencabar keputusan PRU15. Isham bagaimanapun tidak mendedahkan tiga kawasan berkenaan. Sebaliknya menegaskan terdapat beberapa lagi kawasan lain yang telah dikenal pasti dan akan difailkan petisyen.

Pada hari yang sama, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir dipetik berkata pihaknya akan memfailkan petisyen melibatkan beberapa kerusi bagi mencabar keputusan PRU15. Jelas beliau, petisyen pihaknya mempunyai asas untuk difailkan.

Pada 3 Januari lalu, seorang pengundi yang juga wakil kepada calon BN bagi kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk mencabar keputusan kawasan itu.

Wakil rakyat paling lama berkhidmat itu gagal mempertahankan kerusinya buat penggal ke-12, dan beliau tewas dengan perbezaan undi 163 undi.

Petisyen itu, yang difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, wakil Perikatan Nasional (PN), pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Berdasarkan laporan Malaysian Insight semalam, 11 petisyen pilihan raya telah difailkan selepas berakhir tempoh yang ditetapkan mengikut undang-undang bagi mencabar keputusan PRU15.

Mengikut Seksyen 38(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya, calon atau pengundi di sesebuah kawasan pilihan raya boleh mengemukakan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan diterbitkan dalam warta kerajaan.

Keputusan PRU15 telah diwartakan secara berperingkat bermula pertengahan bulan lalu, sejurus selepas pengundian bagi kerusi Padang Serai, Kedah yang ditangguhkan ekoran kematian seorang calonnya, diadakan semula pada 5 Disember lalu.

Dalam pada itu, Seksyen 35A pula menyatakan perbicaraan mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari tarikh petisyen difailkan. Sementara itu, Seksyen 36B menyatakan rayuan ke mahkamah persekutuan mesti diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Kesemua petisyen yang dikemukakan akan didengar oleh mahkamah pilihan raya yang diwujudkan khas untuk tujuan tersebut. Peruntukan semasa menyediakan satu tempoh selama setahun untuk kedua-dua peringkat mahkamah mendengar petisyen dan rayuan keputusan. Amalan ini dikuatkuasakan sejak lebih dua dekad.

Petisyen pilihan raya adalah satu bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh seseorang calon, ejen pilihan raya atau sebarang pengundi dalam mana-mana bahagian pilihan raya jika mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya yang telah dijalankan.

Tindakan undang-undang ini boleh dibuat mengikut peruntukan yang diberikan di dalam Bahagian VI Akta Kesalahan Pilihan Raya. Petisyen pilihan raya biasanya bertujuan agar mahkamah memberi pertimbangan untuk membatalkan pemilihan yang telah diisytiharkan oleh pegawai pengurus.

Mengikut Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya, pemilihan seseorang calon dalam pilihan raya akan terbatal sekiranya calon tersebut sabit kesalahan berkaitan dengan apaapa perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang dalam pilihan raya itu.

Dengan demikian sekiranya mana-mana pihak yang berhak untuk mengemukakan petisyen mempunyai bukti yang cukup untuk mempercayai bahawa perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang telah berlaku, atau mempercayai bahawa pilihan raya tersebut telah tidak dikendalikan atau dijalankan mengikut kehendak undang-undang atau peraturan bertulis berhubung dengan penjalanan pilihan raya, maka bolehlah pihak berkenaan mengemukakan petisyen pilihan raya mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Petisyen boleh dikemukakan atas alasan-alasan berikut:

  1. Calon yang menang atau ejennya adalah orang yang hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya,
  2. Sogokan dan rasuah,
  3. Salah laku pegawai atau kakitangan pilihan raya atau perbuatan yang tidak menepati undang-undang, atau
  4. Pelbagai perbuatan pegawai atau calon atau ejen yang boleh ditafsirkan sebagai perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Setiap kali selepas pilihan raya selesai dilangsungkan, SPR akan menghadapi beberapa petisyen yang sebahagian besarnya tidak ditujukan kepada SPR sebagai responden pertama, tetapi sebagai responden kedua atau ketiga.

Sasaran utama adalah calon yang memenangi pilihan raya walaupun adakalanya responden pertama ialah pegawai pengurus itu sendiri.

Selain kes Tian Chua dan Streram lima tahun lalu, ada kes petisyen yang melibatkan pegawai pengurus yang menyebabkan mahkamah membatalkan pilihan raya kerana salah laku atau perbuatan yang boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peraturan pilihan raya oleh pegawai pengurus.

Satu kes yang jelas adalah berkaitan dengan petisyen pilihan raya kecil Tanjung Puteri, Johor pada tahun 1988. Dalam kes ini, antara lain pihak yang mengemukakan petisyen telah menuduh bahawa pegawai pengurus telah tidak mematuhi peraturan mengenai pengiraan undi pos kerana telah tidak atau telah melakukan perkara-perkara yang berikut:

Tidak mengeluarkan notis bertulis kepada calon atau ejen pilihan raya untuk memerhatikan pembukaan dan pengiraan undi pos sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Proses membuka dan mengira undi pos telah tidak dijalankan dengan sempurna kerana ia dimulakan di satu tempat dan diakhiri pula di tempat yang lain.

Kertas undi pos telah dikira secara berasingan iaitu perbuatan yang terkeluar daripada peraturan pada masa itu.

Di samping itu terdapat juga tuduhan yang menyatakan bahawa salah seorang ketua tempat mengundi (KTM) telah mengambil jalan jauh yang terkeluar daripada jalan biasa apabila membawa peti undi ke tempat mengira undi. KTM telah singgah di rumahnya atas urusan peribadi dan tidak terus pergi ke tempat mengira undi.

Lazimnya bilangan pertikaian yang akan berakhir dengan pembatalan keputusan dan pilihan raya kecil tidak banyak. Hanya antara 10 hingga 15 peratus petisyen akan berjaya di peringkat mahkamah. Bermakna kebanyakan petisyen akan ditolak sejak awal lagi sebelum didengar.

Kejayaan dalam proses petisyen menunjukkan bukan sesuatu yang mudah seperti dijangkakan. Ia memerlukan bukti yang kukuh, terutama yang membabitkan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengurusan pilihan raya.

Beberapa pemegang taruh pilihan raya melahirkan harapan agar undang-undang semasa dan proses pemfailan petisyen perlu dipermudahkan.

Selain mengelakkan situasi yang kompleks dalam mengemukakan petisyen dan mendengar petisyen, undang-undang semasa perlu dikemas dan ditambah baik bagi mencerminkan prinsip sebenar pilihan raya demokrasi.

Soal petisyen juga satu aspek penting dalam menjamin gelanggang pilihan raya yang adil, bebas dan saksama. Banyak perkembangan sepanjang enam dekad lalu menunjukkan bahawa negara memerlukan satu kerangka perundangan yang lebih solid dan dinamik daripada sudut pengurusan petisyen. – 16 Januari, 2023.


* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen