Bomba Sarawak perlu pengimbas sonar, anjing pengesan


Desmond Davidson

Pasukan penyelam daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berusaha mengesan kereta yang terjunam ke dalam sungai berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Januari, 2023.

ALAT pengimbas sonar dan beberapa lagi anjing pengesan adalah antara “peralatan” khusus yang akan diteliti bagi kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak tahun ini.

Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata pihaknya memerlukan peralatan itu untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam menghadapi tugas rumit jabatan itu.

“Kepantasan sentiasa menjadi matlamat dalam operasi SAR (mencari dan menyelamat),” katanya kepada The Malaysian Insight ketika melihat anak buahnya di bandar Sibu yang bertungkus-lumus menarik keluar kereta yang terjunam di Sungai Rajang berdekatan Jeti Tanjung Kunyit.

Mereka menghabiskan masa tiga hari menyelusuri sungai untuk mencari mayat mangsa.

Alat pengimbas sonar mudah alih akan menjadikan kerja mengesan kereta atau mangsa lebih pantas.

Kejadian pada pagi 7 Januari di persimpangan Jeti Feri Tanjung Kunyit itu mengorbankan dua daripada tiga mangsa di dalam kereta tersebut – seorang lelaki berusia 61 tahun dan wanita berusia 40 tahun.

Lelaki berusia 38 tahun berjaya keluar dari kereta dan berenang ke tempat yang selamat.

“Peralatan moden adalah wajar bagi semua pasukan penyelamat. Kejadian di Batang Kali membuktikannya,” kata Khirudin merujuk kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 16 Disember lalu yang memusnahkan tapak perkhemahan di ladang organik dan mengorbankan 31 nyawa.

“Keperluan itu pasti ada.”

Khairudin bagaimanapun sedar perkara itu tidak akan diperoleh dalam masa terdekat.

Permintaan itu, yang sudah disahkan “ibu pejabat”, kini perlu melalui kerenah birokrasi dan sering diberi alasan: “Tiada dana”.

“Kami sudah (majukan) cadangan tetapi (kekangan) kewangan akan sentiasa menjadi penghalang.

“Agensi lain mungkin mempunyai (peralatan yang sama) tetapi untuk kegunaan berbeza,” katanya merujuk kepada anjing pengesan yang lebih dikenali sebagai anjing K9.

Sekitar operasi mencari dan menyelamat mangsa kereta yang terjunam ke dalam sungai berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Januari, 2023.

Sarawak kini mempunyai enam anjing – dua terlatih sebagai anjing forensik, dua jenis Cadaver dan dua lagi anjing “hutan”.

Anjing forensik dilatih untuk mengesan tisu manusia, darah, air mani, air kencing, najis, dan bahan yang pernah dipakai manusia manakala anjing jenis Cadaver dilatih untuk menghidu bau mayat manusia.

Anjing tersebut sering dirujuk sebagai anjing pengesan mayat manusia kerana mereka pakar dalam mengesan daging yang mereput.

“Anjing hutan” dilatih mencari orang hilang di dalam hutan di mana Sarawak terdapat sekurang-kurangnya satu kes seminggu orang dilaporkan hilang di belantara.

Anjing yang diminta Khirudin adalah digunakan untuk operasi SAR di kawasan bandar, orang yang terperangkap di bawah bangunan runtuh atau tanah runtuh seperti itu di Batang Kali.

Beliau melihat menteri dan ahli Parlimen wajar memahami mengapa jabatan itu sangat memerlukan peralatan dan haiwan khusus itu.

“Pemimpin politik dan ahli Parlimen kita memerlukan perubahan 360 darjah mengenai perkara ini.”

Katanya, seperti apa yang berlaku daripada kejadian baru-baru ini, jelas beliau kini akan mendesaknya.

Jika dapat, Khirudin berkata beliau pasti gembira.

“Ya pasti (terutamanya) K9. Kami memerlukan lebih banyak terutamanya dalam satu disiplin itu,” katanya mengenai anjing pengesan di kawasan bandar. – 16 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen