Dilema ahli Pejuang: Ditelan mati emak, diluah mati bapa


SELEPAS pimpinan parti Pejuang mengumumkan penarikan diri dari gabungan politik Gerakan Tanahair (GTA) semalam, rakan-rakan dan para penyokong tertanya-tanya, mereka patut berada di mana, ikut Pejuang atau ikut GTA? 

Keadaan ini menyebabkan ahli dan penyokong berada dalam dilema – ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Sebelum menjawab persoalan di atas, saya menerima dan menghormati keputusan parti sesuai dengan prinsip demokrasi yang kita sepakati.

Namun sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya kita meneliti serba sedikit keputusan parti Pejuang Tanahair ini. Atas hujah demokrasi juga, maka setiap keputusan boleh dibincangkan secara terbuka.

Sebab

Pertama, menurut kenyataan Presiden Pejuang Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir, keputusan ini diambil kerana parti, iaitu untuk memperkukuhkan kembali parti Pejuang.

Daripada kenyataan ini, ia menggambarkan seolah-olah selama parti Pejuang berada bersama GTA, parti ini tidak dapat memperkukuhkan organisasinya, atau mungkin melemahkan partinya. Demikian maksud yang saya faham dari kenyataan itu.

Apakah benar ada halangan untuk Pejuang mengurus atau mengembangkan partinya selama ia berada di dalam GTA? 

Jika ada, apakah halangan itu hingga menyebabkan parti terpaksa mengambil keputusan untuk keluar daripada GTA.

Ini tidak pula dinyatakan dengan jelas baik kepada umum mahupun ahli akar umbinya.

Selain itu, pimpinan Pejuang juga memberikan lima pilihan yang akan diambil iaitu pertama, menyertai PRN sebagai komponen GTA; kedua, menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH); ketiga, menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN); keempat, bergerak secara solo, dan kelima tidak menyertai PRN nanti.

Bagi saya, pilihan satu sudah bukan lagi jadi pilihan kerana GTA tidak lagi ada dalam senarai, sementara baki pilihan yang ada, pilihan yang terbaik ialah tidak perlu menyertai PRN 2023 ini nanti.

Sebabnya mudah kerana pilihan ke dua dan ke tiga agak ganjil kerana Pejuang tidak dilihat mempunyai kuasa penawaran, baik kepada PH dan PN. 

Jika pilihan keempat untuk bergerak secara solo pula, ia tidak akan memperkukuhkan parti malah hanya akan mengulangi kekalahan yang lalu.

Agenda GTA

GTA ditubuhkan atas agenda mahu mengangkat atau mengembalikan kepimpinan politik Melayu yang berwibawa, kekal berprinsip dan bersih. Parti-parti dan NGO yang berada dalam GTA telah sepakat dan bersetuju dengan agenda yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad ini.

Maka secara tidak langsung kita akan bertanya kembali. Adakah keputusan Pejuang untuk keluar dari GTA ini adalah gambaran bahawa Pejuang tidak lagi bersetuju dengan agenda GTA yang disepakati selama ini? 

Adakah dasar politik wibawa, politik berprinsip dan politik bersih ini bukan lagi menjadi keutamaan agenda parti Pejuang? 

Agak sukar saya nak memahaminya.

Justeru, kepada rakan-rakan yang berada dalam dilemma untuk memilih samada mahu bersama dengan Pejuang atau GTA, maka buatlah pilihan sebaik-baiknya. 

Ini adalah hak masing-masing, cuma fahami betul-betul niat dan tujuan kalian menyertai politik, samada mahu membawa agenda politik berwibawa atau hanya mahu memperkukuhkan politik masing-masing. 

Tepuk dada tanya selera.  

Perjuangan dan pilihan

Perjuangan ini tidak mudah, malah akan selalu dipandang serong oleh musuh politik, termasuk rakan-rakan anda sendiri. Keadaan ini akan bertambah sukar kerana kita tidak punya banyak wang untuk ditawarkan bagi membeli hati dan mendapatkan sokongan rakyat. 

Setelah melalui pelbagai pahit manis dalam perjuangan ini, Dr Mahathir tetap enggan bersara dari politik. Bukan kerana beliau mahu jadi PM lagi, bukan… tetapi kerana beliau mahu terus berusaha dan dikenang sebagai orang yang tidak pernah berputus asa dan menyerah kalah dalam perjuangan. 

Fahami baik-baik maksud kata-kata beliau itu.

Maka, jika anda mahu telan, telanlah apa yang patut anda mahu telan atau luahkanlah apa yang anda mahu luahkan. Ini demokrasi.

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen