PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol hari ini berjanji untuk mewujudkan dasar bagi kemakmuran masa depan Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika beliau memulakan lawatan ke negara Timur Tengah itu.
Yoon mengeluarkan kenyataan itu ketika bertemu dengan kira-kira 150 rakyatnya di UAE sejurus selepas tiba di Abu Dhabi untuk lawatan empat hari, lapor Agensi Berita Yonhap.
“UAE sedang bersedia untuk era pasca minyak dan Korea Selatan memiliki idea-idea inovatif dan kemahiran teknologi adalah rakan kongsi yang optimum,” katanya.
Yoon berkata UAE adalah satu-satunya negara Timur Tengah yang mempunyai perkongsian strategik khas dengan Korea Selatan.
Sejak Korea Selatan membina loji kuasa nuklear Barakah di UAE, hubungan kedua-dua negara berkembang pesat meliputi pelbagai sektor termasuk tenaga, pembinaan, kesihatan, senjata dan budaya. – Bernama, 15 Januari, 2023.
Komen