TIDAK ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan Sabah dengan menarik balik sokongan kepada ketua menterinya Hajiji Noor, kata Bung Mokhtar Radin.
Ketua Umno Sabah itu berkata niat mereka adalah untuk memperbetulkan hala tuju politik negeri itu.
“Menjatuhkan kerajaan dan membentuk kerajaan baharu adalah berbeza. Menjatuhkan (kerajaan) selalunya dilakukan dengan niat jahat tetapi niat kami adalah untuk memperbetulkan hala tuju politik negeri untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Agung Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Bung Moktar berkata apa yang mereka lakukan adalah untuk kepentingan rakyat Sabah.
“Tumbangkan adalah merosakkan, sedangkan kita hanya memastikan rakyat Sabah mendapat tempat yang sepatutnya dalam pentadbiran baharu,” katanya.
Minggu lalu Umno Sabah menarik sokongannya kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji, merancang untuk membentuk kerajaan baharu dengan sokongan Warisan.
Bagaimanapun lima wakil rakyat Umno negeri tetap setia kepada Hajiji, memastikan kedudukan ketua menterinya selamat.
Hajiji kemudiannya menggugurkan Bung Moktar daripada Kabinet negeri, di mana beliau menjadi timbalan ketua menteri.
Shahelmey Yahya dari Umno Sabah (Tanjung Keramat) dilantik sebagai timbalan ketua menteri III dan menteri kerja raya negeri manakala James Ratib (Sugut) dilantik sebagai menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.
Bung berkata beliau akan membawa dua anggota Umno dalam Kabinet Sabah ke lembaga disiplin parti.
“Kami akan membincangkan tindakan selanjutnya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Bung berkata tindakan Hajiji itu tidak selaras dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk kerajaan perpaduan. – 13 Januari, 2023.
Komen