Pemimpin Umno berat sebelah cuba salahkan remaja, kata Undi18


Ravin Palanisamy

KENYATAAN seorang pemimpin Umno menyatakan golongan remaja kurang matang dalam membuat pertimbangan sebelum mengundi adalah tidak berasas dan berat sebelah, kata Undi18 hari ini.

Mereka berkata Ketua Wanita Umno Bahagian Jerai Norma Awang mengeluarkan kenyataan ini hanya kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak seperti yang diharapkan.

“Untuk rekod sekitar 5.8 juta pengundi baharu layak mengundi untuk PRU15 apabila pendaftaran secara automatik dan had umur minima diturunkan ke usia 18 tahun. 

“Namun begitu pengundi berumur 18 - 20 tahun pada PRU15 lepas hanya meliputi 3.2% daripada keseluruhan 21.1 juta pemilih berdaftar atau hanya sekitar 676,070 dan selebihya adalah golongan individu yang sudah berusia 21 tahun ke atas.

“Justeru kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah dianggap sebagai berat sebelah hanya kerana keputusan PRU-15 yang lepas tidak memihak kepada mereka secara total,” katanya. 

Malam tadi Norma dilaporkan berkatapengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan ketika perbahasan sayap Wanita Umno pada perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur semalam.

Undi18 berkata Umno perlu bermuhasabah dengan menilai semula punca penolakan rakyat terhadap parti itu.

Kumpulan itu berkata parti berasaskan Melayu itu perlu mencari strategi terkini dalam menarik sokongan golongan muda bukannya menuding jari kepada mereka.

“Setiap parti politik seharusya meraikan demokrasi dengan penglibatan lebih ramai segment golongan masyarakat dengan memperluaskan skop tersebut dan bukannya dengan mengecilkan lagi penglibatan rakyat dalam demokrasi. 

“Sejajar dengan perkara tersebut, usaha-usaha untuk memberikan pendedahan advokasi terhadap pendidikan pengundi dan demokrasi perl diterapkan lebih awal khususnya kepada mereka yang bakal mengundi but kali pertama dan ia tidak terhad kepada mereka yang baru mencapai umur 18 tahun sahaja,” kata Undi18.

Kumpulan itu berkata golongan muda hari ini lebih terbuka dan fleksibel dalam membuat pertimbangan.

“Maka ruang dan peluang dalam demokrasi perlu diberikan kepada mereka. 

“Hal in demikian kerana kematangan seseorang bukanlah bergantung kepada usia sahaja kerana hari ini terbukti ramai anak muda tempatan yang menempa nama di persada dunia dalam pelbagai bidang,” katanya.

Undi18 berjaya mendesak pindaan perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi mengurangkan had umur minimum mengundi di Malaysia daripada 21 kepada 18 tahun. – 13 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen