Zahid janji kukuhkan semula Umno di luar bandar


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan membawa masyarakat desa bersama-sama dalam arus kemajuan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 Januari 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan mengukuhkan semula asas kekuatan partinya di luar bandar atas kedudukan beliau sebagai menteri kemajuan desa dan wilayah.

Dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2022 hari ini, Ahmad Zahid berikrar akan membawa masyarakat desa bersama-sama dalam arus kemajuan negara.

“Bagi kemajuan desa dan wilayah, InsyaAllah saya akan menyingsing lengan untuk mengukuhkan semula asas kekuatan kita di luar bandar. Kita mahu masyarakat di desa tidak terpisah daripada menikmati arus kemajuan.

“Kita bertekad untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan budaya masyarakat desa. Isu-isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa akan diperkasa.

“Saya akan menangani soal kesenjangan dan kesentosaan ini di kalangan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Kenyah… rakan-rakan di Sabah dan Sarawak. 

“Saya mahu lihat isu-isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa akan diperkasa.

“Itu janji saya kepada perwakilan. Itu juga janji saya kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, Umno kalah di beberapa kerusi luar bandar yang selama ini jadi kubu kuatnya sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk.

Perikatan Nasional melalui Bersatu dan PAS menyapu hampir bersih kerusi Parlimen luar bandar dan pinggir bandar kebanyakannya di Perlis sampai ke utara Perak, serta Kelantan, Terengganu dan sebahagian Pahang.

Beberapa menteri Umno dalam pentadbiran lepas juga kalah, antaranya Naib Presiden Mahdzir Khalid (Padang Terap), Khairy Jamaluddin (Sungai Buloh) dan Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas).

Selepas pilihan raya umum 19 November itu, Umno tidak lagi mempunyai kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor, dan Melaka.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mengingatkan semua menteri Kabinet dari Umno mengenai tugas-tugas mereka di portfolio masing-masing.

Beliau mahu mereka yang diberikan amanah untuk menyertai pasukan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya “benar-benar berprestasi”.

“Jangan tunggu 100 hari… tetapi dalam pemerhatian saya, Alhamdulillah, kelima-lima mereka menunjukkan prestasi yang baik setakat ini,” katanya.

Selain Ahmad Zahid yang dilantik timbalan perdana menteri dan memegang portfolio pembangunan desa dan wilayah, menteri Umno yang lain ialah Timbalan Presiden Mohamad Hasan (pertahanan) serta Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin (pengajian tinggi).

Tiga lagi menteri dari Umno dalam Jemaah Menteri Anwar ialah Azalina Othman Said (undang-undang dan reformasi institusi), Zambry Kadir (luar negeri) dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik senator selaku menteri perdagangan antarabangsa dan industri. – 13 Januari 2023. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen