
MEMANG sial nasib jadi perempuan, dalam filem “Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak”.
Di tengah dunia laki-laki dengan latar alam yang kering dan terasing, perempuan hanya disukat untuk urusan perut atau di bawah perut.
Setidak-tidaknya begitulah Mouly Surya membuka naratif awal filem ketiga arahannya ini.
Pada suatu senja, seorang lelaki bermotosikal meredah padang berbukit yang kering menuju ke sebuah rumah kecil yang terpencil. Pintu dibuka perlahan. Ada seorang perempuan. Namanya Marlina. Wajahnya cemas.
“Aku ini tamu,” kata Markus, lelaki kerempeng berambut gondrong dan bertatu itu, sambil meminta kopi dan sirih.
Lelaki itu dengan tegas dan bersahaja lalu memberitahu Marlina bahawa dia, dan enam lagi kawannya yang sedang dalam perjalanan, datang untuk merompak dan kemudian akan memuaskan nafsu – bukan nafsu mereka tetapi nafsu perempuan itu, seorang janda yang kematian suami.

“Malam ini kamu adalah perempuan yang paling beruntung. Tidur dengan tujuh laki-laki,” kata tetamunya.
“Saya perempuan yang paling sial sudah malam ini,” jawab Marlina.
Sebuah filem tidak ditulis dengan lakon layar atau kata bualnya, kata Agnes Varda, seorang pengarah filem dari Perancis .
Sebuah filem ditulis dengan cara bagaimana ia dibikin, daripada sinematografinya sampailah kepada cara lakonan, pemilihan lokasi serta warna dan muzik yang melatarinya. Marlina si Pembunuh dalam Empat Babak suatu contoh untuk memahami apa yang disebut oleh pembikin filem Arus Baru Perancis itu.

Marlina si Pembunuh dalam Empat Babak digambarkan secara teatrikal. Hampir tidak terasa kamera hadir. Sepanjang 90 minit, kamera di tangan pengarah sinematografi, Yunus Pasolang hanya merakamkan apa yang ada – dengan seadanya, secara statik tanpa sedikit pun bergerak.
Dengan komposisi yang diatur cantik, visual dalam filem ini tambah luar biasa diwarnai latar alam Pulau Sumba yang cukup indah.
Latar alam pulau di timur Indonesia itu tidak hadir sebagai poskad cantik sebaliknya memberikan lapis makna yang lain kepada sosok seorang perempuan yang melawan sial.
Ketika dihadapkan dengan dua ketentuan, sama ada menjadi perempuan paling beruntung atau paling sial, Marlina sebaliknya menyiapkan perlawanan dari dapur.
Dia jadi pembunuh – seperti yang sudah dinyatakan pada judulnya.
Marlina lalu mencari keadilan dengan menjinjing kepala Markus menuju ke balai polis. Di tengah jalan dia bertemu kenalannya, Novi, bakal ibu yang sudah sarat mengandung sampai 10 bulan.
Novi dituduh selingkuh oleh suaminya, maka itu kandungannya belum juga lahir-lahir. Pada masa sama, Marlina diburu oleh Franz, saki baki perompak yang mahukan kepala Markus agar dapat disempurnakan mengikut adat setempat.
Kepada semua yang bertanya tentang kepala tidak berbungkus yang dijinjingnya itu, Marlina menjawab tegas: “Ini bukan urusan kalian.”
Kepada Novi yang mengajaknya ke gereja dan tidak usah ke balai polis, Marlina juga menjawab tegas: “Aku tidak merasa berdosa.”

Dalam tiga babak berikutnya, Mouly mengajak penonton menyelami jiwa dan persekitaran dunia Marlina untuk mencari jawapan bagaimanakah seharusnya perempuan mengambil sikap ketika dihadapkan dengan pilihan nasib untung dan sial.
Bahawa perempuan yang selalu disudutkan ke dapur malah memilih untuk melawan – juga dari dapur, adalah satu pernyataan sikap Mouly yang jelas tentang kedudukan perempuan.
Marlina adalah watak seorang perempuan yang dibangunkan untuk bangkit merebut haknya, dan itu harus dia jalankan sendiri. Ketika Novi mencurahkan isi hati kerana merasa terdera hidup sebagai perempuan, dan dilecehkan juga oleh perempuan dalam sosok ibu mertuanya sendiri, Marlina menunjukkan sikap yang semacam tidak peduli – kerana baginya, ketentuan hidup untuk jadi beruntung atau sial adalah pilihan masing-masing.
Dengan menjinjing kepala Markus di sepanjang jalan, Marlina menyatakan sikap bahawa di tengah dunia laki-laki, dia bukan seorang perempuan biasa.
Tetapi ke mana-mana sekalipun dia pergi, kematian selalu datang mengekori – dari luar pintu rumah sampai ke ruang tamu, di bilik tidur, di balik batu sewaktu sedang kencing dan di jalan yang sunyi.
Kematian – atau nasib buruk untuk Marlina – ada di mana-mana.
Namun kematian juga hadir bersama kelahiran, dalam satu ruang, hampir pada waktu yang tidak lama berselang. Ada dua kelahiran yang berlaku pada adegan akhir dalam babak keempat: kelahiran fizikal dan kelahiran spiritual, yang digambarkan dengan begitu cerdas bermula dengan adegan ganti baju – juga di dapur, dan kemudiannya memulakan perlawanan juga dari dapur.
Semua watak perempuan dalam filem ini hadir dengan keperibadian yang cukup kuat: Novi yang lahir semula, Mama yang sedar tanggungjawab untuk memastikan anak saudaranya kahwin dan “tidak mati berdiri” sampailah kepada Topan, anak kecil yang bekerja menjaga kedai makan ketika rakan-rakan sebayanya yang laki-laki punya masa untuk bermain dan bergembira.
Semua watak perempuan ini – Novi, Mama dan Topan – memberikan kekuatan semangat kepada Marlina untuk terus bertahan. Malah kanak-kanak kecil, yang daripadanya Marlina paling mendapat semangat, diberi nama lelaki supaya “kuat seperti laki-laki”.
Sebaliknya laki-laki dalam Marlina si Pembunuh dalam Empat Babak ini jadi betul-betul tidak berguna sama sekali. Yang berandal lelaki. Yang tidak bertanggungjawab lelaki. Yang melecehkan perempuan memang lelaki.
Lelaki jadi langsung tidak berguna dalam hidup Marlina. Ketika ada lelaki sekalipun dalam hidupnya (di rumahnya), lelaki itu sudah tidak lagi bernyawa, tidak berdaya dan tidak dapat berbuat apa-apa.
Terlepas daripada beberapa hal kecil yang bagaimanapun tidak mencacatkan filem ini secara keseluruhan, Marlina Si Pembunuh dalam Empat Babak berjaya mengangkat persoalan-persoalan besar tentang perempuan dan lelaki tanpa terlalu berkhutbah. Cukup barangkali hanya dengan seorang perempuan yang menjinjing kepala lelaki dengan parang terselip di pinggang. – 11 Mac, 2018.
* Marlina si Pembunuh dalam Empat Babak ditayang di GSC International Screens di GSC Mid Valley, GSC Pavilion KL, GSC 1 Utama, GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang, dan GSC Paradigm Mall, Johor Bahru.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
Komen